Categories
Anarkisme Bangkit Kelola

12 Mitos mengenai Aksi Langsung

oleh Kon Zing
Bacaan: 6 minit


Aksi langsung – iaitu apa-apa tindakan yang mengatasi dan memintas mana-mana saluran politik yang ‘sah’ untuk mencapai sesuatu matlamat secara terus dengan menggunakan cara yang paling berkesan – mempunyai warisan sejarah yang panjang dan kaya di seluruh dunia. Walaupun demikian, terdapat banyak salah faham dan mitos popular mengenainya, dan sebahagian besar dari salah faham tersebut adalah hasil dari laporan tidak tepat oleh pihak media korporat.

Aksi langsung adalah terorisme

Terorisme dilakukan untuk menimbulkan ketakutan dan mengabaikan keselamatan orang awam. Aksi langsung, sebaliknya, bertujuan untuk memberi dorongan dan sekaligus menginspirasikan sesiapa pun dengan membuktikan kekuatan yang dimiliki oleh seseorang individu dalam mencapai matlamat mereka sendiri.  Selalunya, terorisme bertujuan untuk memperoleh kekuasaan bagi sesetengah pihak dengan cara menindas orang lain, manakala aksi langsung pula menunjukkan segala kemungkinan yang boleh dilakukan oleh semua orang (termasuk anda), memberikan pemberdayaan atau pemerkasaan kepada semua untuk menguasai diri mereka sendiri. Sebagai contoh, sesebuah aksi langsung mungkin dapat melumpuhkan aktiviti syarikat korporat dan institusi yang melakukan ketidakadilan menurut oleh para aktivis, tetapi ini hanyalah sebuah bentuk ketidaktaatan awam, dan bukannya terorisme.

Aksi langsung adalah keganasan

Dengan mengatakan bahawa pemusnahan mesin jentera rumah sembelih atau memecahkan tingkap pejabat parti politik yang menyokong perang adalah satu bentuk keganasan, anda telah mengutamakan harta benda berbanding nyawa haiwan atau manusia yang tidak bersalah. Dengan memberikan segala perhatian ke atas hak milik harta benda korporat, kita telah jauh tersasar dari isu yang lebih utama; iaitu keganasan terhadap makhluk bernyawa.

Aksi langsung bukan ekspresi politik, tetapi kegiatan jenayah

Untuk melabelkan sesebuah aksi itu ‘haram’ atau ‘tidak sah di sisi undang-undang’, ia adalah satu ukuran yang lemah sama ada aksi tersebut adil atau tidak. Pada suatu ketika dahulu, manusia dijual sebagai hamba abdi di pasar dan perbuatan tersebut pernah sah di sisi undang-undang. Untuk membantah sesebuah aksi dengan alasan bahawa ia menyalahi undang-undang adalah mengetepikan persoalan yang lebih penting; iaitu sama ada ia beretika atau tidak. Dengan berhujah bahawa kita perlu sentiasa mematuhi undang-undang dalam apa jua keadaan – walaupun kita menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak beretika – menunjukkan bahawa kita menganggap insitusi perundangan itu memiliki kewibawaan moral yang lebih tinggi dari gerak hati dan nurani kita sendiri, dan kita mentaatinya secara membuta tuli – sekaligus menjadi rakan subahat dalam menghadapi ketidakadilan apabila kita berdiam diri. Apabila undang-undang melindungi penjenayah dan mengamalkan ketidakadilan secara terbuka, aksi langsung yang dianggap sebagai satu ‘kegiatan jenayah’ tadi bukanlah satu kesalahan, dan ketaatan kita dalam mematuhi undang-undang tidak ada baiknya.

Aksi langsung tidak diperlukan kerana kita memiliki kebebasan untuk bersuara

Di dalam masyarakat yang dikuasai oleh media korporat dengan fokus yang sempit, adalah hampir mustahil untuk memulakan perbincangan awam mengenai sesuatu isu, kecuali apabila berlaku sesuatu yang menarik perhatian umum. Dalam keadaan seperti itu, aksi langsung boleh menjadi cara untuk memupuk kebebasan bersuara, bukan membungkamnya. Apabila seseorang itu menyedari ada ketidakadilan yang terjadi dan menerimanya tanpa melakukan apa-apa kerana hal itu tidak dapat dielakkan, adalah tidak cukup dengan sekadar bersuara mengenai isu tersebut – orang lain perlu menunjukkan kepadanya bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan untuk menghentikannya.

Aksi langsung mengasingkan dan tidak merangkumi semua orang

Sebaliknya, ramai orang merasakan kaedah tradisional parti-parti politik adalah terasing dari diri mereka dan lebih tertarik kepada taktik-taktik aksi langsung. Pendekatan yang dilakukan untuk mencapai matlamat masing-masing adalah berbeza-beza; sebuah gerakan yang mempunyai objektif yang luas mesti merangkumi pelbagai pilihan kaedah. Kadang-kala, mereka yang berkongsi matlamat sama dengan orang yang mengamalkan aksi langsung membantah kaedah tersebut dan menghabiskan seluruh masa serta tenaga mereka untuk berdebat mengenai aksi yang telah dilakukan. Dengan berbuat demikian, mereka mengancam seluruh gerakan dari mencapai matlamat yang utama, dan adalah lebih baik jika mereka mengambil peluang tersebut untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh aksi.

Mereka yang mengamalkan aksi langsung perlu melakukan gerak kerja melalui saluran politik yang telah ditetapkan dan sah

Ramai orang yang mengamalkan aksi langsung juga bekerja dari dalam sistem. Komitmen untuk menggunakan setiap kaedah institusi sebagai cara penyelesaian masalah tidak semestinya menghalang komitmen yang sama untuk meneruskan matlamat tersebut dari mana ia terhenti akibat sistem yang sah.

Aksi langsung adalah ekslusif

Beberapa bentuk dan kaedah aksi langsung tidak terbuka kepada semua orang, tetapi ini tidak semestinya bermakna ia tidak bernilai. Setiap orang mempunyai pilihan dan kemampuan yang berbeza, dan mereka harus bebas bertindak menurut gerak hati masing-masing. Persoalan yang utama adalah bagaimana pendekatan yang berbeza antara individu dan kumpulan yang berkongsi matlamat jangka panjang yang sama dapat disatukan dalam apa jua cara supaya mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

Aksi langsung adalah kaedah untuk para pengecut

Tuduhan ini selalunya dilakukan oleh mereka yang mempunyai hak istimewa untuk bercakap dan bertindak di khalayak ramai tanpa perlu rasa takut akan akibatnya: iaitu, orang yang mempunyai kuasa di dalam masyarakat, dan mereka yang patuh kepada kekuasaan tersebut. Adakah gerakan Ros Putih di Munich boleh mengedarkan risalah-risalah anti-Nazi mereka dalam keadaan yang terbuka di hadapan polis rahsia Gestapo? Dalam hal ini, di dalam sebuah negara yang semakin ditekan oleh pihak berkuasa dengan pengawasan setiap masa dari kerajaan terhadap setiap rakyatnya, adakah ia menghairankan jika mereka yang mempunyai perbezaan pendapat dengan tanggapan umum mahu melindungi hak privasi dan data peribadi apabila memberikan pendapat mereka?

Aksi langsung hanya diamalkan oleh mahasiswa mentah / anak-anak orang kaya dengan hak istimewa / orang miskin yang terdesak / dan lain-lain

Pertuduhan ini hampir selalu dibuat tanpa merujuk kepada fakta-fakta yang konkrit, sebagai satu fitnah. Padahal, aksi langsung telah lama diamalkan dalam pelbagai bentuk dari setiap lapisan masyarakat. Orang asli dan peribumi selalu melakukan aksi langsung dengan membina sekatan jalan raya untuk menghalang lori-lori pembalak dari masuk ke tanah adat mereka. Satu-satunya pengecualian kepada pertuduhan di atas adalah ahli anggota masyarakat dari kelas atasan tidak perlu mengamalkan sebarang tindakan yang kontrovesial dan menyalahi undang-undang adalah kerana, secara kebetulan, kaedah dan saluran politik yang sah lebih sesuai dengan keperluan mereka.

Aksi langsung adalah kerja agen provokatur

Ini adalah satu lagi spekulasi yang biasanya dilemparkan dari jauh, tanpa bukti yang berasas. Untuk mendakwa bahawa tindakan-tindakan aksi langsung selalunya dilakukan oleh agen provokatur polis adalah satu percubaan untuk melemahkan semangat para aktivis: ia menolak sebarang kemungkinan bahawa para aktivis sebenarnya mampu melakukan aksi tersebut dengan sendirinya, melebih-lebihkan kuasa perisikan polis dan memperkuatkan khayalan bahawa kerajaan dan negara adalah yang maha kuasa. Demikian juga, ia menyangkal dan menolak nilai dan realiti kepelbagaian taktik. Apabila semua orang merasa berhak untuk membuat tuntutan yang tidak berasas bahawa setiap taktik yang mereka tidak setujui sebagai provokasi dari pihak polis, ia menghalang sebarang kemungkinan untuk berdialog secara konstruktif mengenai kaedah dan taktik yang sesuai.

Aksi langsung adalah berbahaya dan boleh memberikan kesan yang negatif kepada orang lain

Aksi langsung memang berbahaya dia dalam iklim politik yang menindas, dan adalah penting bagi mereka yang mengamalkannya berusaha untuk tidak membahayakan orang lain. Ini tidak semestinya dijadikan satu bantahan untuk menidakkannya, namun sebaliknya, apabila bertindak di luar kaedah dan saluran politik yang sah dianggap sebagai ‘berbahaya’, maka itulah saatnya bahawa kita perlu melakukannya. Pihak berkuasa juga boleh menggunakan aksi langsung sebagai satu alasan untuk menakut-nakutkan rakyat yang tidak bersalah, seperti yang dilakukan oleh Hitler dan Nazi apabila Reichstag dibakar. Tetapi mereka yang memegang kuasalah yang perlu menjawab terhadap setiap ketidakadilan yang mereka lakukan, bukannya mereka yang menentang kekuasaan tersebut. Walaupun mereka yang mengamalkan aksi langsung mungkin menghadapi risiko, di dalam menghadapi kezaliman dan ketidakadilan yang tak dapat ditanggung lagi, ia akan menjadi lebih berbahaya dan adalah tidak bertanggungjawab bagi kita apabila kita membiarkannya terjadi tanpa sebarang cabaran dan pertikaian.

Aksi langsung tidak pernah mencapai apa-apa matlamat

Setiap gerakan politik yang berkesan sepanjang sejarah – dari perjuangan untuk bekerja 8 jam sehari kepada hak-hak wanita – telah menggunakan beberapa bentuk dan kaedah aksi langsung. Aksi langsung boleh melengkapi kegiatan politik lain dalam pelbagai cara. Sekiranya tiada cara lain, ini bermakna bahawa perlunya ada reformasi dalam institusi, memberikan mereka yang mengamalkannya lebih banyak kuasa untuk memenuhi tuntutan mereka. Tetapi ia juga boleh menjangkaui lebih dari satu bentuk sokongan dan kaedah, menunjukkan bahawa ada kemungkinan untuk mempunyai satu lagi cara dan jalan di dalam kehidupan manusia dalam mencapai sesuatu matlamat, iaitu di mana kuasa diagihkan secara sama rata dan setiap orang boleh mempunyai suara yang sama, terus, serta langsung dalam semua perkara yang mempengaruhi hidup mereka.