Categories
Anarko-Feminisme Sejarah

5 Anarko-Feminis yang Perlu Anda Kenali Selain Daripada Emma Goldman

oleh Kon Zing
Bacaan: 10 minit


Apabila kita bercakap tentang anarko-feminisme, Emma Goldman adalah nama pertama yang akan terlintas di fikiran kita. Memang tidak dinafikan lagi bahawa ‘Biarawati Agung Anarki’ ini mempunyai banyak sumbangan dan meninggalkan impak yang besar kepada gerakan anarkisme walaupun setelah 80 tahun sejak pemergiannya. Namun, sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip asas anarkisme lain iaitu ‘tiada idola, tiada tokoh’, saya berpendapat bahawa tidak salah untuk kita berusaha mengenali anarko-feminis yang lain, lebih-lebih lagi yang bertapak di tempat selain dari Amerika Syarikat.

He Zhen (1884 – 1920)

“Kita mesti menghapuskan undang-undang serta peraturan ciptaan para lelaki dan memperkenalkan idea kesaksamaan sesama manusia,
dan ini bermaksud kita perlu menyedari bahawa dunia mesti dikongsi
dan dimiliki dengan sama rata antara lelaki dan wanita.
Matlamat menuju kesaksamaan tidak akan dapat dicapai kecuali
melalui pembebasan wanita!”

Dilahirkan di Yizheng, Jiangsu, He Zhen adalah seorang anarko-feminis Cina pada awal abad ke-20. Beliau menulis dan menerbitkan tulisan-tulisan yang menyerang secara kuat dan terus terhadap kekuatan sosial kaum lelaki di dalam beberapa jurnal anarkis dan berpendapat bahawa tanpa pembebasan kaum wanita, masyarakat tidak akan dapat dibebaskan sampai bila-bila.

Sebagai seorang pewaris keluarga yang kaya, He Zhen mendapat pendidikan yang baik dalam pembelajaran sastera klasik Konfusianisme dan berkahwin dengan seorang anarkis Cina bernama Liu Shipei pada tahun 1903. Dibuang daerah ke Jepun kerana kegiatan gerakan politik yang dihidu oleh kerajaan, mereka berdua menyertai sekumpulan revolusioner yang mendalami doktrin anarkisme di Tokyo.

He Zhen dan Liu menulis banyak artikel menggunakan nama pena untuk mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa, namun kebanyakannya disalah anggap oleh penerbit dan pembaca sebagai hasil karya suaminya sahaja. Beliau juga mengasaskan Nüzi Fuquan Hui (Persatuan Pemulihan Hak Wanita), yang menyeru penggunaan kekerasan sebagai salah satu taktik untuk mengakhiri penindasan kaum lelaki terhadap kaum wanita serta perlawanan terhadap kelas pemerintah dan kapitalis di samping tetap menjaga nilai-nilai tradisional Cina yang baginya wajar seperti ketekunan dan penghormatan kepada komuniti yang lebih besar.

Fokus utama tulisan-tulisan He Zhen adalah menentang dan mengecam amalan pekerjaan seks secara paksa di rumah pelacuran, pembunuhan bayi perempuan, serta amalan penyimpanan gundik yang masih lagi di berlaku di era China moden. Beliau juga aktif menyerang hak istimewa kaum lelaki terhadap pemilikan ke atas wanita yang baginya berakar dari nilai-nilai tradisional budaya Cina – melalui peninggalan dari Dinasti Qing dan ajaran Konfusianisme yang memaksa wanita untuk sentiasa tunduk kepada suami.

Tidak ada banyak perkara yang diketahui mengenai He Zhen (berikutan dari penghapusan hasil kerja beliau di bawah pengaruh patriarki), malah hari-hari terakhir beliau masih lagi menjadi misteri sehingga sekarang. Setelah kematian suaminya akibat batuk kering pada tahun 1919, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa beliau menjadi sami Buddha dan menukar namanya kepada Xiao Qi. Bagaimanapun, terdapat juga beberapa laporan yang mengatakan bahawa beliau meninggal dunia kerana sindrom patah hati atau gangguan mental yang serius.

“Tidakkah anda pernah terfikir bahawa
kaum lelaki adalah musuh utama kita?”

Virginia Bolten (1870 – 1960)

“Mereka mengatakan bahawa undang-undang memberikan kita hak.
Ya, hak untuk menjadi hamba seks yang halal melalui perkahwinan, dan
hak untuk berlapar sehingga mati demi mengandungkan anak-anak mereka!”

Virginia adalah seorang wartawan, aktivis feminis, dan anarkis berketurunan Jerman. Seorang pemidato yang lantang, beliau dianggap sebagai salah seorang pelopor awal dalam perjuangan menuntut hak-hak wanita di Argentina.

Dilahirkan di San Juan dan membesar di Rosario, beliau bekerja sebagai pembuat kasut dan berkenalan dengan Juan Marquez; seorang penggerak kesatuan pembuat kasut dan mengahwininya.

Pada tahun 1888, beliau menyertai sidang redaksi El Obrero Panadero de Rosario (Pekerja Roti Rosario); salah sebuah akhbar anarkis pertama di Argentina. Pada tahun berikutnya pula, beliau menganjurkan beberapa demonstrasi dan mogok kerja di Rosario, dan kemungkinan besar ia adalah mogok kerja pertama yang dilakukan oleh pekerja wanita di Argentina.

Bersama Romulo Ovidi dan Francisco Berri serta editor akhbar El Obrero Panadero de Rosario yang lain, beliau menganjurkan perarakan May Day (Hari Buruh) pertama di Amerika Selatan. Pada 30 April 1890 (sehari sebelum perarakan tersebut), beliau ditahan dan disoalsiasat oleh pihak berkuasa tempatan kerana mengedarkan risalah-risalah politik kepada para pekerja di kilang-kilang berhampiran – beliau akhirnya dilepaskan tanpa sebarang dakwaan. Keesokkan harinya, beliau berarak dengan membawa sebuah bendera merah besar yang bertulis, “1 Mei – Persaudaraan Sejagat – Para pekerja Rosario mematuhi peruntukan Jawatankuasa Pekerja Antarabangsa Paris!” Setelah menyampaikan pidato politik yang berapi-api dan meyebarkan propaganda anarkis kepada para pekerja yang meryertai perarakan tersebut, beliau ditahan di bawahan tuduhan ‘menggugat ketenteraman awam’. Beliau adalah wanita pertama yang berpidato di pentas ketika perarakan Hari Buruh.

Pada tahun 1896, beliau mengasaskan akhbar anarko-feminis yang pertama di dunia, iaitu La Voz de la Mujer (Suara Para Wanita). Inilah kali pertama idea anarko-feminisme diedarkan kepada khayalak umum untuk mempertahankan hak asasi wanita dan pekerja. Beliau menampung sendiri segala perbelanjaan penerbitan akhbar tersebut menggunakan gaji beliau sebagai pekerja kilang kasut.

Ia merupakan akhbar pertama yang dibikin oleh wanita untuk wanita, menyatukan ribuan pekerja wanita untuk bergerak dengan lebih aktif dalam membina identiti autonomi di dalam dan luar rumah mereka. Akhbar tersebut menyeru para wanita untuk bangkit memberontak terhadap penindasan oleh kaum lelaki, tetapi tanpa mengabaikan perjuangan kelas pekerja. Tulisan-tulisan di dalamnya membidas isu-isu semasa dengan tajam, menyerang kekuasaan dari pelbagai sudut dan bentuk: dalam agama, pekerjaan, fungsi negara, dan kekeluargaan. Cadangan utama La Voz de la Mujer adalah pembentukan masyarakat anarko-komunisme.

Institusi perkahwinan adalah salah satu sasaran utama para penyunting akhbar tersebut, yang berpendapat bahawa wanita adalah penghubung utama yang tertindas di dalam rantaian eksploitasi. Mereka mempertahankan idea mengenai ‘percintaan bebas’, yang digambarkan sebagai jalan keluar apabila perasaan cinta yang asli sudah berakhir.

Diterbitkan secara rahsia dan bawah tanah sehingga tahun 1897, akhbar tersebut sempat diedarkan sebanyak 2000 naskhah sebelum ditutup operasinya oleh pihak berkuasa.

Setelah beberapa tahun menjadi aktif di dalam gerakan aktivisme feminis, anarkis, dan kesatuan pekerja, beliau dibuang negara ke Uruguay pada tahun 1902.

“Tiada tuhan, tiada tuan, tiada suami!”

Lucía Sánchez Saornil (1895 – 1970)

“Sebilangan besar komrad lelaki – dengan pengecualian terhadap setengah dozen dari mereka yang waras – mempunyai fikiran yang dijangkiti oleh prejudis borjuasi yang paling tipikal.”

Lucía dilahirkan di Madrid, Sepanyol pada Disember 13, 1895 di dalam sebuah keluarga yang miskin. Ibunya meninggal muda dan beliau dibesarkan oleh ayahnya. Beliau bekerja sebagai operator telefon untuk membiayai pembelajarannya di sebuah sekolah seni, di mana beliau juga mula menulis secara aktif. Beliau menerbitkan puisinya yang pertama pada tahun 1918 dengan menggunakan nama pena lelaki untuk menembusi gerakan seni yang dipenuhi oleh para lelaki dan menulis mengenai keanggunan feminin serta erotika lesbian.

Pada usia 20 tahun, Lucía mengenali anarkisme dan mula menulis lebih banyak karya-karya revolusioner berbanding puisi eksperimental. Beliau menyedari bahawa kerajaan Republik Sepanyol pada ketika itu adalah pusat pembiakan fasisme yang dijadikan alat sandiwara borjuasi, dan mengambil keputusan untuk menjadi setiausaha Confederación Nacional del Trabajo (Konfederasi Buruh Nasional) – salah satu organisasi politik anarkis yang utama di dalam Revolusi Sepanyol.

Beliau lantang menyuarakan isu-isu pembebasan wanita dan selalu berhujah bahawa kesaksamaan jantina adalah sama penting dengan kesaksamaan kelas. Doktrin keras beliau mengenai pemikiran anti-seksisme sepatutnya bermula dari rumah menjadikannya beliau kurang popular di kalangan komrad-komrad lelaki yang lain.

Bersama Mercedes Comaposada dan Amparo Poch y Gascón, beliau membantu mengasaskan bersama Mujeres Libres (Wanita Bebas); sebuah organisasi anarko-feminis autonomi pada tahun 1936, dan menyunting lidah rasmi organisasi tersebut. Penubuhan Mujeres Libres adalah berdasarkan prinsip-prinsip anarkis akar umbi dengan etos D.I.Y yang kuat dan membawa idea pembebasan wanita dari belenggu masyarakat yang patriarkal. Di waktu kegemilangannya, organisasi tersebut mempunyai seramai 30,000 ahli yang berkerja keras untuk mencapai anarkisme secara spontan sebelum dan semasa Revolusi Sepanyol terjadi.

Pada tahun 1938, beliau bertemu dengan América Barroso, bakal pasangan hidupnya di Valencia. Pada tahun yang sama, beliau menjadi setiausaha kepada Dewan Umum untuk Solidaridad Internacional Antifascista – SIA (Solidariti Anti-Fasis Antarabangsa). Selepas tamat perang di Sepanyol, mereka kemudiannya hidup dalam pelarian di Perancis kerana fahaman politik mereka yang dianggap merbahaya. Namun pada tahun 1941, mereka kembali semula ke Sepanyol apabila kejatuhan Perancis kepada Nazi kerana diancam untuk dihantar ke kem tahanan di Jerman disebabkan oleh hubungan lesbian mereka berdua.

Mereka tinggal bersama di Valencia sehingga Lucía meninggal dunia akibat kanser pada tahun 1970.

“Kami mahu menulis banyak lagi kata-kata dari, untuk, dan mengenai wanita!”

Fumiko Kaneko (1903 – 1926)

“Apakah itu revolusi, jika ia hanya akan menggantikan
satu kekuasaan dengan yang lainnya?”

Fumiko lahir di Yokohama, Jepun pada 25 Januari 1903. Disebabkan ibu bapa beliau tidak menikah secara sah, Fumiko tidak mewarisi nama keluarga ayahnya sejak lahir dan dianggap sebagai anak yang tidak berdaftar di sisi undang-undang. Oleh itu, beliau dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan yang formal walaupun beliau seorang yang cerdas sejak kecil.

Walaupun sibuk bekerja sejak dari umur belasan tahun untuk menampung kehidupannya, Fumiko rajin membaca dan mulai belajar sendiri sehingga beliau mampu khatam buku-buku politik dan falsafah yang rumit seperti tulisan-tulisan Hegel, Nietzsche, dan Stirner.

Hidup yang penuh dengan kesengsaraan dari penderaan keluarga serta menjadi saksi kepada layanan buruk kerajaan Jepun terhadap rakyat Korea yang dijajahnya pada ketika itu mendorong Fumiko untuk mendalami falsafah anarkisme serta nihilisme – yang dianggapnya lebih berkesan berbanding sosialisme.

Dengan bekerja sebagai pengedar suratkhabar, penjual sabun, dan pelayan restoran dalam masa yang sama, Fumiko berjaya menyimpan duit untuk menyambung pembelajarannya di sebuah sekolah perubatan. Seorang pelajar yang meminati bidang matematik, Bahasa Inggeris, dan sastera klasik Cina, di sinilah Fumiko mengenali rakan baiknya Hatsuyo, yang kemudiannya memperkenalkan beliau kepada Park Yeol dan beberapa rakan anarkis yang lain. Mereka kemudiannya mengasaskan satu kolektif anarkis yang dipanggil Futei-sha (Persatuan Pembuat Kerosakan), bertujuan untuk melakukan aksi langsung melawan kerajaan Jepun.

Mereka juga menerbitkan sendiri beberapa majalah dengan tulisan-tulisan berbaur ‘hasutan’ untuk menyemarakkan semangat anti-nasionalisme di kalangan pembaca terutamanya rakyat Korea, dan ini membuatkan pihak kerajaan sentiasa mengawasi gerak-geri mereka.

Apabila keadaan di Kanto menjadi huru-hara akibat dari gempa bumi yang besar pada tahun 1923, pihak berkuasa telah menangkap Fumiko dan Park untuk dijadikan kambing hitam setelah berlaku rusuhan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Korea oleh paramiliter dan militia Jepun. Mereka berdua dituduh menghasut rakyat Korea untuk bangkit memberontak di waktu kekacauan pasca-gempa bumi tersebut dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana menderhaka kepada Maharaja Jepun.

Setelah didakwa dan menjalani pembicaraan di mahkamah, hukuman tersebut dikurangkan kepada penjara seumur hidup atas belah ihsan dari Maharaja. Fumiko kemudiannya menolak pengurangan hukuman tersebut dengan mengoyak surat pengampunan diraja kerana baginya, ia adalah penghinaan yang paling besar apabila beliau terus hidup di bawah ihsan manusia lain.

Di dalam penjara, beliau aktif menulis memoirnya dengan harapan agar para pembaca boleh memahami mengapa beliau memilih untuk menjadi seorang anarko-feminis dan nihilis dalam bahasa yang mudah.

Pada tahun 1926, Fumiko dijumpai mati tergantung di selnya oleh pegawai penjara. Khabar angin mengatakan bahawa Fumiko sedang hamil hasil dari hubungannya dengan Park, dan pihak berkuasa Jepun berpendapat bahawa beliau harus dibunuh kerana bayi yang bakal lahir adalah rakyat Korea-Jepun.

Rakan kolektif anarkisnya yang lain pula percaya bahawa Fumiko membunuh diri untuk menunjukkan kepada semua bahawa beliau sendirilah yang berhak untuk menentukan hidup dan matinya sendiri.

“Aku tidak hidup untuk orang lain. Apa yang harus aku capai adalah adalah kebebasanku sendiri, demi kepuasanku sendiri. Aku harus menjadi diri sendiri.”

Comandanta Ramona (1959 – 2006)

“Aku percaya bahawa mati berjuang adalah lebih baik dari mati kebuluran.”

Dilahirkan di dalam komuniti Tzotzil yang mendiami tanah tinggi Chiapas, selatan Mexico, Ramona menyertai Ejército Zapatista de Liberación Nacional – EZLN (Tentera Pembebasan Kebangsaan Zapatista) setelah menyedari bahawa keadaan hidup rakyat di sekitar beliau tidak akan menjadi lebih baik tanpa ada sebarang perlawanan.

Beliau mempelajari Bahasa Sepanyol, dan mula melakukan gerak kerja untuk membangkitkan kesedaran politik di kalangan wanita Chiapas. Pada 1 Januari 1994, beliau merupakan salah seorang pemimpin penting bagi pemberontakan Zapatista apabila mereka keluar hutan Lacandona untuk menawan pekan-pekan utama di Chiapas.

Pihak berkuasa cuba melawan kembali dengan pelbagai cara namun para Zapatista tetap bertahan untuk berjuang demi mendapatkan kembali hak autonomi untuk memerintah tanah warisan mereka yang dirampas oleh kerajaan Mexico. Perjuangan mereka menjadi simbol penting kepada gerakan anti-kapitalisme seluruh dunia kerana mereka bukan sahaja melawan pemerintah yang korup, malah menentang kerajaan yang menjadi dalang kepada kapitalisme global serta perusahaan syarikat yang menindas rakyat.

Ramona juga salah seorang dari 7 komandan wanita yang menyertai Jawatankuasa Sulit Revolusioner Peribumi yang memimpin EZLN dan membantu dalam penyediaan Undang-undang Revolusi Wanita yang menjadi sebahagian dari dasar utama EZLN.

Antara isi utama undang-undang tersebut adalah seperti yang berikut – setiap wanita mempunyai hak untuk: menentukan bilangan anak mereka; bekerja untuk gaji yang adil; menyertai perjuangan revolusi dan hal ehwal komuniti secara aktif tidak kira bangsa, agama, dan politik; menjawat pekerjaan di jabatan-jabatan awam dan memegang pangkat dalam pasukan tentera revolusi; mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, makanan yang berkhasiat dan pendidikan asas; memilih pasangan sendiri dan tidak dikahwinkan secara paksa; tidak bertolak-ansur terhadap penderaan seksual, fizikal, serta mental.

Walaupun bertubuh kecil, dan hampir mati akibat dari kegagalan fungsi hati akibat kanser pada hujung tahun 1990-an, Ramona tetap dihormati kerana kecekalan dan ketulusan beliau. Perubahan hidupnya dari seorang penjaja kraftangan di tepi jalan kepada seorang pemimpin revolusi telah memberikan harapan dan inspirasi kepada ribuan rakyat di seluruh Mexico.

“Harapan kami adalah supaya suatu hari nanti nasib kami akan berubah,
di mana kami para wanita akan dilayan dengan penuh rasa
hormat, keadilan, dan demokrasi.”