Categories
Bangkit Sejarah Seni

5 Dokumentari Mengenai Aksi Langsung yang Perlu Anda Tonton

oleh Kon Zing
Bacaan: 4 minit


Dokumentari merupakan salah satu bentuk media yang menggunakan rakaman terus atau temubual bersama beberapa orang yang terlibat dengan sesuatu perkara serta peristiwa yang dianggap penting. Berbeza dengan filem yang kebanyakannya fiksyen dan ditokok tambah, dokumentari menyediakan sebuah laporan berasaskan fakta berdasarkan sesuatu tema atau subjek yang khusus.

Sama seperti propaganda dalam apa bentuk atau medium sekalipun, aksi langsung sentiasa ditunjukkan sebagai suatu tindakan yang ganas atau berbahaya.

Berikut adalah beberapa dokumentari mengenai aksi langsung yang berusaha untuk mencabar tanggapan umum dan melawan mitos berkaitannya dengan merakamkan aksi tersebut di hadapan lensa kamera.

Behind the Mask: The Story of the People Who Risk Everything to Save Animals

Shannon Keith / 2006 / 72 minit

Animal Liberation Front atau lebih dikenali sebagai ALF, yang dianggotai oleh aktivis-aktivis hak haiwan dengan keahlian rahsia, kini dilabelkan sebagai ancaman pengganas domestik nombor satu di Amerika Syarikat oleh FBI. Pengarah dokumentari ini merakamkan hati dan jiwa aktivis yang terlibat di dalam perjuangan demi Pembebasan Haiwan di sebalik topeng mereka.

Siapakah para aktivis haiwan ini dan mengapa mereka percaya bahawa melanggar undang-undang adalah jalan yang terbaik untuk membantu haiwan? Apa yang memberi inspirasi kepada mereka untuk mencabar status quo, melawan segala rintangan, dan menahan cemuhan masyarakat?

Dokumentari ini memaparkan rakaman yang belum pernah dilihat sebelum ini untuk mendedahkan sejauh mana individu-individu yang terlibat akan pergi untuk menyelamatkan nyawa haiwan yang tidak bersalah.

How to Start a Revolution

Ruaridh Arrow / 2011 / 85 minit

Dokumentari ini memaparkan karya-karya Gene Sharp – seorang calon Hadiah Keamanan Nobel – yang memperkenalkan idea mengenai 198 kaedah aksi langsung tanpa kekerasan dan digunakan sebagai sumber inspirasi oleh kelompok revolusioner sebagai taktik melawan penguasa.

Dari revolusi di Serbia dan Ukraine sehingga ke Mesir dan Syria, para aktivis mengadaptasi kaedah-kaedah yang ditulis di dalam buku beliau dalam menuntut pembebasan dan menjatuhkan kerajaan yang korup.

Hasil karya beliau diterjemahkan ke dalam lebih 30 bahasa untuk dipelajari oleh aktivis dan dijadikan sebagai eksperimen untuk menggulingkan para diktator di seluruh dunia.

How To Start A Revolution menceritakan sebuah kisah mengenai kuasa rakyat untuk mengubah dunia, revolusi di masa moden, dan sosok di sebalik semua ini.

Just Do It: A Tale of Modern-day Outlaws

Emily James / 2011 / 90 minit

Dunia kelompok yang mengamalkan aksi langsung dalam perjuangan alam sekitar kekal rahsia sebelum ini, sehinggalah dokumentari ini terbit. Pengarah dokumentari ini mengikuti kumpulan aktivis alam sekitar seperti Climate Camp dan Plane Stupid dengan rapat selama lebih setahun untuk merakamkan aktiviti-aktiviti rahsia mereka.

Dengan akses tanpa had dan rakaman yang ekslusif, dokumentari ini membawa anda ke sebuah perjalanan yang menakjubkan di sebalik tabir komuniti para aktivis yang tidak mahu mendiamkan diri dari melihat kemusnahan dunia yang terjadi akibat hawa nafsu manusia serta ketamakan syarikat-syarikat korporat.

Mengetepikan klise mengenai gerakan alam sekitar yang dipenuhi dengan statistik atau data-data yang membosankan, dokumentari ini memperkenalkan anda dengan watak-watak nakal dan menyeronokkan yang sanggup meletakkan diri mereka di tengah jalan untuk membawakan mesej yang positif, melekatkan diri mereka pada lantai bank yang meluluskan projek-projek mega, menyekat produksi kilang yang mencemarkan alam, dan menyerang stesen janakuasa arang batu secara beramai-ramai, walaupun berhadapan dengan ancaman penangkapan oleh pihak berkuasa.

Pengembaraan mereka yang penuh aksi ini menghiburkan, memberi pencerahan, dan memberikan ilham kepada kita untuk menyelamatkan alam sekitar dengan cara kita sendiri.

If a Tree Falls: A Story of the Earth Liberation Front

Marshall Curry / 2011 / 85 minit

Pengarah dokumentari ini meneroka gerak kerja dan etika Earth Liberation Front atau ELF – pecahan dari Animal Liberation Front / ALF – sebuah kumpulan revolusioner alam sekitar yang radikal. ELF menumpukan tindakan mereka kepada syarikat-syarikat korporat dengan aksi langsung dan sabotaj.

ELF ditubuhkan apabila sekumpulan aktivis alam sekitar berbincang dan mengambil keputusan untuk tidak lagi mengamalkan aksi langsung tanpa kekerasan apabila kem aman mereka yang dibina untuk menyekat perjalanan lori-lori balak dimusnahkan dan protes aman yang dilakukan mereka diakhiri dengan kekerasan oleh pihak berkuasa.

Memfokuskan tentang perjalanan hidup Daniel McGowan, seorang ahli ELF yang didakwa melakukan kerosakan bernilai jutaan dolar apabila sebuah syarikat penebangan hutan dimusnahkan dalam sebuah kebakaran. Dikhianati oleh ahli ELF lain, beliau menghadapi hukuman penjara seumur hidup kerana dijadikan kambing hitam atas keterlibatannya dengan kumpulan radikal ini.

Dokumentari ini mengajak kita untuk meneliti dan mencabar semula segala tanggapan mengenai hubungan di antara prinsip, undang-undang, aktivisme, dan terorisme.

Vessel

Diana Whitten / 2014 / 90 minit

Menceritakan tentang usaha Dr. Rebecca Gomperts; seorang ekstremis gerakan hak pengguguran dan organisasinya Women On Waves, ketika beliau berlayar di seluruh dunia untuk menyediakan perkhidmatan pengguguran di atas perairan antarabangsa kepada wanita yang tidak mempunyai alternatif kerana undang-undang yang menindas.

Dr. Rebecca menghadapi pelbagai rintangan dengan sekatan dari kerajaan, institusi keagamaan, dan ketenteraan, namun beliau berjaya mengatasinya dengan teknologi untuk memintas undang-undang yang sedia ada.

Dokumentari ini membawa kita melihat bagaimana beliau melatih aktivis-aktivis kesihatan seksual dan hak reproduksi serta para wanita untuk melakukan pengguguran menggunakan pil dan protokol dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dijamin selamat, dan bagaimana beliau membina hubungan dengan rangkaian aktivis-aktivis hak wanita secara bawah tanah di seluruh dunia untuk membawakan sebuah idea yang mustahil menjadi sebuah gerakan global.