Siapa

Anarkisme memang sentiasa akan disalah anggap dan dijadikan sebagai ‘hantu momok’ di mana-mana sekali pun. Bagi ramai orang, anarkis adalah mereka yang tidak mahu menurut pada peraturan dan undang-undang, membaling bom petrol ke arah pihak berkuasa, membakar bangunan dan menghancurkan harta benda awam. Dan untuk mengasingkan tanggapan umum bahawa anarkis adalah mereka yang membahayakan adalah suatu usaha yang sukar.

Secara umum, fahaman politik utama kami adalah anarko-feminisme dan anarko-queer, yang beranggapan bahawa peranan patriarki, norma-hetero, dan binari gender tradisional sebagai sebuah manifestasi kepada hierarki secara paksa yang harus digantikan oleh sebuah gerakan pemikiran yang bebas dari sebarang bentuk dan struktur kekuasaan.

Kami percaya bahawa perjuangan melawan patriarki dan binari gender adalah sebahagian yang penting dari perlawanan kelas dan perjuangan anarkis melawan negara dan kapitalisme. Tidak akan ada anarkisme tanpa feminisme. Secara dasarnya, kami melihat perjuangan anarkis sebagai komponen penting dalam perjuangan feminis dan begitu juga sebaliknya.

Kami anti-penguasa, anti-kapitalisme, anti-penindasan, dengan tujuan untuk menciptakan sebuah titik persamaan di antara semua jenis bentuk alat kelamin.

Kami memberikan kritikan terhadap mana-mana ideologi politik yang berada baik di spektrum kiri mahupun kanan, yang mengangkat apa-apa jenis bentuk hierarki dan menciptakan misogini dalaman ke atas emansipasi perempuan: ketika perempuan menindas sesama perempuan. Kerja-kerja kami adalah untuk memungkinkan lahirnya sebuah gerakan dalam rangka perjuangan kelas dan jantina, seterusnya membangkitkan insureksi.

Di dalam sebuah masyarakat yang telah lama dicengkam para tuan, pendapat di dalam webzine ini menawarkan persoalan yang lebih kritis dan kritikal. Laman web Gocoh! ini adalah satu webzine yang membincangkan isu, langkah dan gerak kerja dari sudut pandang anarko-feminisme dan anarko-queer.