Categories
Anarkisme Sejarah Seni

Anarchist from Colony (2017): Menggugat Pemerintahan Imperialisme Monarki Jepun dengan Nitroglycerin dan Penerbitan Majalah Bawah Tanah

oleh Kon Zing
Bacaan: 6 minit


Berlatarbelakangkan Tokyo ketika penjajahan Korea di bawah kuasa Jepun pada tahun 1920-an, Anarchist from Colony (2017) adalah sebuah filem berdasarkan kisah benar yang mengisahkan tentang kehidupan seorang anarkis Korea bernama Park Yeol dan pasangan beliau, Kaneko Fumiko; seorang anarkis-nihilis Jepun yang bersimpati dengan perjuangan rakyat Korea. Mereka berdua menghadapi perbicaraan setelah dituduh berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Jepun dan berkomplot untuk percubaan membunuh putera Maharaja Jepun.

Berikut adalah beberapa babak menarik dan point penting bagi saya apabila menonton filem ini:

1) Pada permulaan filem, Kita diperkenalkan dengan watak utama Park Yeol yang dibelasah oleh seorang penumpang beca berbangsa Jepun selepas Park meminta baki dua sen yang tak cukup walaupun telah menghantar penumpang tersebut selamat sampai ke destinasi. Park, sebagai seorang Korea memang ada pelat sikit bila sebut sen (disebut sebagai ‘zen’) dan orang Jepun pada masa itu yang terkenal dengan sifat ultra-nasionalisme/fasisme mereka memang pantang bila ada orang Korea yang tak reti sebut mana-mana perkataan dengan cara yang ‘betul’. Later in the film, semasa keadaan chaos akibat rusuhan kaum antara Jepun-Korea selepas Gempa Bumi Kanto, ungkapan ‘sen/zen’ tersebut menjadi praktik popular oleh pihak mob Jepun untuk mengenalpasti siapa orang Korea dan siapa orang Jepun. Mereka akan menyuruh sesiapa yang disangsi kaumnya untuk menyebut ungkapan; “Lima belas ringgit, lima belas sen,” (lebih kurang macam tu lah) dan sesiapa yang menyebut ‘sen’ sebagai ‘zen’ akan dibunuh serta-merta. Semudah itu saja, huh? Membuatkan saya terfikir, macam mana para perusuh semasa Tragedi 13 Mei 1969 mengenalpasti siapa Melayu, siapa Cina pada masa itu? Adakah wujud ujian percakapan/ungkapan seperti ujian sen/zen tersebut atau ada ujian lain? Mungkin tiada sebab perbezaan warna kulit membuatkan senang untuk mengenalpasti kaum masing-masing. Entahlah.

2) Kemudian kita diperkenalkan pula dengan Kaneko Fumiko, yang mahu berkenalan dengan Park setelah membaca puisi Anjing Yang Celaka (Damned Dog) tulisannya di dalam sebuah majalah bulanan yang diterbitkan secara indie (macam zine la lebih kurang), iaitu Young Korean. Park berkata kepada Fumiko; “Kau adalah perempuan kelapan yang datang berjumpaku setelah membaca puisi itu,” menunjukkan bahawa ada ramai perempuan yang tertarik dengan Park setelah membaca tulisannya sebelum ini tetapi dia tidak pernah menunjukkan minat kepada mereka. Fumiko bertanya dengan lebih lanjut tentang status perkahwinan Park dan setelah mengetahui bahawa dia masih bujang, Fumiko terus berkata; “Mari hidup bersama. Aku juga seorang anarkis, dan aku mahu jadi lebih dari seorang komrad.”

3) Pada suatu malam, Park bersama ahli kolektifnya yang lain telah menyerang hendap dan membelasah Kim Sung-cheol, seorang Ketua Editor dari akhbar Northeast Asia Daily yang telah menyeleweng dan melarikan duit kempen dari Rusia. Pada malam lainnya, ketika bermesyuarat di pusat kolektif mereka untuk membincangkan tentang aksi langsung untuk menyerang seorang wartawan bernama Jung yang telah mengecam para sosialis, majoriti ahli kolektif telah bersetuju untuk menyerang wartawan tersebut. Seorang ahli kolektif mereka, Hasuyo telah membangkitkan persoalan terhadap aksi tersebut dengan bertanyakan; “Adakah kita perlu membelasahnya hanya kerana dia telah mengecam dan mengutuk para sosialis? Kita bukannya sekumpulan samseng, betul?” Fumiko membalas; “Para anarkis patut bertindak mengikut kehendak mereka,” diikuti dengan Park yang menyambung; “Tindakan sesebuah aksi patut diambil mengikut kehendak individu.” Mesyuarat kemudian ditutup dengan persetujuan bahawa sesiapa yang bersetuju untuk memukul wartawan tersebut boleh meneruskannya dan sesiapa yang tidak bersetuju perlu berdiam diri dan tidak mengambil bahagian.

4) Babak kegemaran saya; Park dan Fumiko sedang bersama-sama mengemas bilik dan menyusun buku. Park bertanya kepada Fumiko tentang buku Kropotkin, An Appeal To The Young (Park mengkritik buku tersebut sebagai “Kisah percintaan pasangan borjuis yang pergi berbulan madu untuk menyambut perkahwinan mereka”) dan memberi cadangan untuk menulis dan menerbitkan buku mereka sendiri. Fumiko mencadangkan kepada Park untuk menterjemah bersama karya Kropotkin lain yang lebih terkenal; The Conquest of Bread (buku ‘klise’ yang perlu dibaca oleh para anarkis seluruh dunia), tetapi ditolak mentah-mentah oleh Park atas alasan sudah wujud terjemahan buku tersebut dalam Bahasa Korea, dan dia tidak mahu menerbitkan buku yang telah sedia ada. Inilah semangat D.I.Y yang harus ada di dalam jiwa setiap anarkis! Di dalam babak yang sama, Fumiko dan Park menandatangani cohabitation agreement (perjanjian tinggal bersama sebagai suami isteri tanpa bernikah) yang mengandungi isi-isi seperti setiap keputusan yang dilakukan harus dibincangkan bersama terlebih dahulu dan mencapai persetujuan kedua belah pihak, kesamarataan tanpa nilai patriarki dalam perhubungan, perkongsian perbelanjaan rumah dan lain-lain lagi teknik komunikasi yang berkesan di dalam sebuah hubungan pasangan anarkis.

5) Antara babak menarik ketika Park, Fumiko dan para ahli kolektif mereka ditahan dalam penjara: semasa Fumiko dan rakan-rakan kolektif menyanyikan lagu Internasionale dalam Bahasa Jepun beramai-ramai dari dalam penjara, taktik Fumiko membogelkan diri untuk menghalau pegawai penjara yang datang mengganggunya, taktik mogok lapar Park apabila tidak dibenarkan berutus surat bersama Fumiko dan banyak lagi! Cakap semua karang spoiler pulak hahaha!

6) Babak soal siasat yang paling terkesan bagi saya adalah apabila Fumiko bertanyakan kepada pegawai polis yang menyoal siasat mereka berdua tentang kenyataan rasmi Park terhadapnya; “Kenyataan aku terhadap Fumiko mungkin akan mengguris perasaannya, jadi aku akan serahkan kepadanya untuk membuat keputusan sendiri,” menandakan bahawa walaupun mereka berdua adalah sepasang kekasih, sebagai anarkis, mereka masih menganggap antara satu sama lain sebagai seorang individu bebas yang berbeza dan tidak terikat atau tertakluk pada mana-mana bentuk pertalian, termasuk di bawah satu perhubungan.

7) Babak perbicaraan di mahkamah bagi saya bosan sikit, sebab banyak membincangkan teori dan retorik anti-imperialisme serta anti-monarki. Cuma adegan kelakar bila Park minta macam-macam demand masa perbicaraan pertama je best, contohnya nak berbicara dalam Bahasa Korea, nak pakai baju tradisional Korea, nak duduk sama tinggi dengan Hakim Mahkamah dan macam-macam lagi. Semasa perbicaraan ni berlangsung, Fumiko telah mula menulis memoir dirinya dalam penjara untuk menjelaskan mengapa beliau menjadi skeptikal terhadap segala jenis pemerintahan di atas muka bumi ini dan menjadi seorang nihilis.

8) Berbanding dengan Park yang banyak menulis puisi dan rencana sebelum masuk penjara setelah Gempa Bumi Kanto (apabila ditanya oleh pihak polis tentang pekerjaannya, Park menjawab; ketua editor dan penerbit majalah), Fumiko dengan jelas cuba mendokumentasikan riwayat hidupnya untuk memperkenalkan cara pemikirannya kepada dunia. Saya lebih tertarik dengan cara pemikiran nihilis Fumiko berbanding dengan Park. Mungkin saya patut mula cari dan baca buku memoir beliau yang berjudul What Made Me Do It? dan Prison Memoirs of a Japanese Woman.

9) Babak kegemaran saya yang lain adalah ketika Park dan Fumiko meminta untuk diambil gambar mereka supaya boleh dikirimkan kepada ibu Park di Seoul. Saya takkan beritahu tentang pose mereka atau bagaimana proses gambar tersebut diambil, cukuplah saya sekadar menyebut tentang jawapan Park kepada pegawai soal siasat mereka; “Ibu saya cukup moden dan berfikiran terbuka untuk menerima gambar ini.” Gambar mereka cukup ikonik dan mengingatkan saya tentang foto Bonnie dan Clyde di mana masing-masing memegang senapang di sebelah kereta mereka yang rompong pintunya akibat ditembak.

10) Itu je kot? Dalam keseluruhan dua jam filem ini berlangsung, saya telah mendapat sedikit gambaran tentang perlawanan para anarkis yang hidup pada zaman penjajahan Jepun. Walaupun penghujung filemnya suram dan sedih sedikit, tetapi mungkin ia terserah kepada kita untuk membuat kajian ringkas sendiri di Google tentang mereka berdua dan juga gerakan anarkisme di Korea. Jika dibandingkan dengan filem anarkis Korea lainnya; Anakiseuteu (2000) yang lebih bercorak noir/drama/thriller (bosan sikitlah, sorry!), saya lebih terhibur dengan filem Anarchist from Colony ini.