oleh Kon Zing
Bacaan: 7 minit
Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam zine Fagiyu #9 dengan tajuk
Anarki Hari Ini #2: Anarkis Dan Pandemik COVID-19 (Bahagian Pertama)
Hello dan apa khabar para pembaca Fagiyuu! Saya harap korang semua sentiasa sihat walafiat dan menjaga diri sebaik mungkin di dalam keadaan dunia sedang bergolak sekarang. Yang dibuang kerja, yang disaman, yang tak tahu nak makan apa hari ini dan esok – silakan marah-marah, saya tidak akan meminta anda untuk bertenang. Anda berhak untuk marah.
Sejak kolum saya yang diterbitkan sebelum ini, rakyat di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Mexico, Chile, Nigeria, Indonesia dan Thailand sedang berdemonstrasi (dan merusuh) melawan ketidakadilan yang berlaku di negara mereka sejak sekian lama (solidariti bersama mereka!). Manakala di Malaysia, sebuah parti politik baharu yang kononnya mendepankan suara anak muda mengajak ahli-ahli politik dan rakyat untuk berhenti berpolitik seketika. Padahal dalam masa yang sama, kes jangkitan dan angka kematian akibat wabak COVID-19 semakin meningkat akibat dari ketamakan dan perebutan kuasa politik selepas Pilihanraya Negeri Sabah yang baru sahaja selesai beberapa minggu yang sudah. Apa lancau?
Dalam kolum Anarki Hari Ini kali ini, kita akan membincangkan bagaimana para anarkis menghadapi wabak COVID-19.