Categories
Anarkisme Bangkit Kelola Tanpa Polis Terjemahan

Dunia Tanpa Polis: Bahagian II

oleh Erin Malikhain
Bacaan: 5 minit
Terjemahan dari A World Without Police


Polis bukan sahaja membunuh. Mereka mengawasi sekolah, hospital dan juga pengangkutan awam. Di kebanyakan bandar, mereka merayau di sekitar jalan-jalan dan lorong-lorong kawasan perumahan dan kawasan perindustrian. Mereka ditempatkan di pejabat kebajikan, pasaraya, pawagam, dan taman-taman. Di ruang-ruang tersebut, mereka ditugaskan untuk mempertahankan dan memperkasakan golongan majoriti, menjaga harta benda dan perniagaan, melebihi nyawa manusia. Hakikatnya, mereka menjalankan tugas penting untuk memperkasakan kapitalisme; mereka mendisiplinkan golongan miskin, minoriti seksual, minoriti warna kulit, trans, dan golongan kurang upaya agar mereka menerima dengan rela keadaan hidup yang sukar, ditekan oleh gaya hidup sosial yang menyusahkan dan pengasingan, dan menghukum mereka yang cuba menentang status quo pengasingan dan eksploitasi ini.

Bahagian I di sini

Strategi

Kita tidak boleh membaikpulih lombong, anda boleh menghapuskannya terus, menghancurkan kilang yang membinanya, dan memansuhkan kerajaan dan perniagaan yang mengambil untung dari lombong ini. Begitulah kita tidak akan meminta polis yang telah diperbaharui — lebih baik, lebih pelbagai, dengan latihan yang lebih bagus dari polis terdahulu, bukan juga sebuah sistem keadilan yang baru — kita mahukan sebuah dunia tanpa polis. Kita mahu melucutkan kuasa, senjata dan membubarkan polis dan agensi yang menguasai mereka, dan merevolusikan masyarakat secara menyeluruh. 

 

MELUCUTKAN KUASA

Merujuk kes seperti Inspektor polis mengaku tidak bersalah rogol, cabul dua wanita Mongolia (30 April 2020), Denis nafi tiada tindakan diambil ke atas anggota polis didakwa rogol (3 Mac 2019), dan Anggota polis rogol remaja di dalam Balai Polis Binjai dihukum penjara (3 Jun 2014), berkali kali kita diingatkan bahawa tubuh kita bukan hak milik kita. Setiap hari kita berjuang di dalam sistem kapitalis, dihukum dengan penghinaan, kekerasan dan kematian, maka perlu kita ingat bahawa tiada sistem kepelbagaian lebih “lembut” atau pengawalan “secara berkomuniti”. Kuasa polis yang mutlak dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun berkadar langsung dengan kuasa yang kita tidak miliki. Realiti yang lebih baik hanya bermula apabila kita mula melucutkan kuasa mereka dari tempat-tempat operasi mereka. 

Bagaimana kita boleh melucutkan kuasa polis dan memperkasakan diri kita? Ini adalah kerja jangka masa panjang, yang melibatkan pembinaan hubungan di antara komuniti untuk menyelesaikan permasalahan sosial dan menentang polis, dan menukar fragmen kapitalis menjadi masyarakat bebas. 

Pertama, kita bergantung kepada satu sama lain tanpa memerlukan polis. Setiap kali kita menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, kita membahayakan nyawa orang lain, paling tidak akan mencederakan seseorang. Tetapi sekiranya kita membangunkan komunikasi, peluang untuk belajar sendiri, dan penyelesaian konflik secara kolektif dalam pelbagai keadaan, kita telah mulai mengenepikan peranan polis dalam hidup kita. Tanpa memerlukan polis untuk menyelesaikan masalah kita, kita boleh menyelesaikannya sendiri.

Kedua, kita bina organisasi melawan kekejaman polis. Di dalam organisasi ini, mereka yang terlibat harus peka dengan penyalahgunaan kuasa oleh polis dan menentang kekuasaan mereka di dalam komuniti. Dalam masa yang sama, sekolah, pejabat dan komuniti hendaklah menentang penambahan kuasa polis dan merespon kekejaman polis apabila ia terjadi. 

Ketiga, kita boleh mewujudkan “zon bebas polis” dalam komuniti kita, apabila kita sudah bersedia untuk menyelesaikan masalah sosial kita sendiri dan menentang kekebalan polis. Ini termasuklah menuntut ruangan awam untuk menyuarakan kekesalan, mewujudkan alternatif dan bersosial, sementara terus menentang fragmen yang dikuasai polis dan kapitalis. Mulakan dengan “Zon Tanpa Polis” dan kemudiannya berkembang menjadi sebuah komuniti yang dijaga, dilindungi dan disokong dengan sendirinya.

Beberapa idea konkrit untuk mula melucutkan kuasa polis: 

 

Di rumah:

  • Membentuk komuniti “pondok telefon” dan jaringan respon segera untuk menyampaikan maklumat penting, memaklumkan penduduk sekitar tentang keberadaan, serbuan atau pemantauan polis, dan bertindak balas terhadap ancaman polis. Dokumenkan gerak kerja polis, gerakkan langkah kerja kolektif untuk menentang kekejaman polis apabila ia terjadi, dan memberikan sokongan kepada mangsa kekejaman polis.
  • Pelajari dan berkongsi teknik pengantaraan konflik, agar apabila berlakunya permasalahan kecil seperti bunyi bising di kawasan kejiranan boleh diselesaikan tanpa melibatkan pihak polis. Mulakan latihan teknik ini di kawasan kejiranan dan persatuan penduduk dan komuniti. 
  • Bentuk kumpulan pemandiri untuk menentang keganasan domestik dan seksual. Ramai yang berharap kepada polis apabila mereka tiada sokongan untuk melawan keganasan dalam ruang peribadi, tetapi alternatif seperti jaringan sokongan, pusat kawalan krisis dan kumpulan pertahanan diri boleh dimulai untuk mengurangkan kebergantungan kepada polis.
  • Menentang pengusiran, baik dari rumah, apartment atau khemah. Polis wujud untuk menjaga harta benda pemilik rumah dan majikan dan menekan golongan kelas pekerja untuk membayar akses kepada keperluan tersebut. Bentuk kesatuan penduduk, jaringan solidariti, kumpulan melawan pengusiran atau organisasi lain yang boleh mengekalkan akses kepada tempat tinggal, meskipun orang itu tidak mampu membayar untuk tempat tinggal tersebut. Apabila polis tiba untuk mengusir orang dari kawasan tersebut, terus berada di sana untuk menghalang mereka dan kekalkan jiran anda di rumah mereka.

 

Di jalanan:

  • Galakkan orang ramai untuk mengelak dari bercakap dengan polis apabila mereka memantau di kawasan kejiranan anda. Protes dan lawan program kepolisan yang dijalankan untuk memberikan insentif kepada jiran yang cuba untuk menjadi tali barut mereka. Program seperti ini selalunya bertujuan untuk mencari dan menghukum kesalahan orang dan memenjarakan mereka. 
  • Bina jaringan dalam kejiranan untuk campur tangan dalam aktiviti polis. Ia boleh dimulakan dalam jaringan komunikasi sedia ada, di tempat kerja atau di kawasan perumahan. Rakamkan interaksi polis. Selain dari memantau gerak kerja polis, teruskan dengan budaya kolektif yang campur tangan dalam aktiviti polis secara aktif dan menghalang mereka dari menggunakan kekerasan dan menangkap sasaran mereka yang rentan.
  • Bentuk kumpulan perempuan, queer dan trans untuk menentang gangguan jalanan dan kegasanan terhadap golongan queer. Apabila kita boleh menjaga diri kita sendiri, kita tidak perlu bergantung harap kepada polis yang mengasari kita di waktu krisis. 
  • Anjurkan kempen untuk memansuhkan polisi polis yang kejam di peringkat tempatan, negeri dan negara. 
  • Cegah pembinaan balai polis dan fasiliti lain melalui protes dan sekatan. Tubuhkan kaunter maklumat di hadapan balai polis dan kedai untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya pengembangan kuasa polis.
  • Sertai aksi langsung untuk memprotes dan menghalang polis dari mengawal dan melemahkan tunjuk perasaan, dan halang penangkapan semasa beraksi di jalan.

 

Di sekolah:

  • Mulai berkempen untuk mengeluarkan polis dari sekolah, termasuklah di sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini boleh dimulakan oleh kumpulan pelajar, kesatuan guru dan persatuan ibu bapa, atau mana-mana kumpulan berkaitan.
  • Protes dan halang projek pengambilan polis sebagai pekerja semasa pesta kerjaya atau hari kerjaya.
  • Menentang penggunaan sekolah untuk aktiviti polis, termasuklah untuk kerjasama reformasi polis untuk meningkatkan kuasa mereka atau sebagai pusat pengumpulan polis yang menghalang protes

 

Di tempat kerja:

  • Ajak rakan sekerja untuk menghalang sokongan material atau sumber untuk polis, atau tidak menawarkan perkhidmatan kepada polis. Ingat, kekuatan dalam keramaian. Bekerjasamalah dengan rakan sekerja anda untuk mengawal tindak balas majikan anda terhadap aksi sebegini.
  • Menuntut agar kesatuan pekerja tidak bekerjasama dengan polis.
  • Untuk organisasi anda, tingkatkan kapasiti secara kolektif untuk mempertahankan diri dari penindasan polis. Pelajari strategi dan taktik untuk melumpuhkan polis sekiranya anda perlu berpiket, membuat sekatan, atau aksi protes yang lain. Majikan dan polis selalunya bekerjasama untuk menghalang pekerja dari mendapat hak mereka.
  • Anjurkan bengkel Kuasa Polis dan Hak Anda untuk mengurangkan impak undang-undang disebabkan interaksi dengan polis, ketika tunjuk perasaan atau waktu-waktu lain.

 

Baca bahagian I di sini

Bahagian III / terakhir akan menyusul.

Untuk menyokong kerja kami, belanjalah secawan ko-fi!