Categories
Anarko-Feminisme Bangkit

Emansipasi untuk Tubuh Perempuan

oleh Erin Malikhain
Bacaan: 3 minit
Gambar oleh: Michelle Ding


Di seluruh dunia, kebanyakan perempuan tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan dalam hal-hal berkenaan hidup mereka sendiri. Kami terbelenggu oleh penindasan dan seksisme, di bawah atap patriarki.

Salah satu hak yang tidak diberikan kepada perempuan adalah hak untuk menentukan yang terbaik untuk tubuh badan mereka. Ini termasuklah hak untuk mendapatkan pengguguran. Seringkali terbelenggu oleh bebelan masyarakat misogini, disindir pakar keagamaan, dan dipaksa untuk terus menanggung beban yang sebenarnya boleh sahaja dinyahkan oleh beberapa biji pil dan tidur seharian di rumah.

Hujah Masyarakat Misogini

Umumnya masyarakat menolak pengguguran kerana ia adalah perbuatan yang menyingkirkan sebuah organisme yang belum tentu akan hidup dan menyumbang kepada komuniti yang ia diami. Masyarakat misogini menggunakan hujah “sudah berdosa sekali, janganlah buat dosa dengan membunuh“. Pengguguran bukan pembunuhan. Satu-satunya perkara yang ia bunuh adalah keupayaan kami untuk menentukan arah hidup kami sendiri.

Masyarakat misogini menggunakan hujah “sekiranya kamu tidak mahu anak itu, boleh diberikan untuk dijadikan anak angkat“. Pengambilan anak angkat bukanlah penyelesaian kepada kehamilan tidak terancang. Pengambilan anak angkat adalah penyelesaian untuk mereka yang mahukan anak dan keluarga. Sekiranya anda membuat kajian di Malaysia sahaja, terdapat lebih dari 100 buah rumah anak yatim di mana anak-anak menunggu untuk dijadikan sebahagian daripada keluarga yang mahukan anak.

Masyarakat misogini akan terus memberikan hujah hujah sumbang dan tidak prihatin kepada kita, kerana mereka tidak perlu menanggung beban ini. Mereka tidak perlu menyimpan satu bendasing dalam tubuh, selama sembilan bulan sepuluh hari, menghadapi tekanan perasaan dan mental, menghabiskan wang belanja demi desakan pahala yang belum pasti.

Pembebasan dari Patriarki

Pembebasan yang paling utama adalah pembebasan dari patriarki. Suara-suara masyarakat misogini akan terus berkumandang. Masyarakat misogini akan sentiasa mengikat perempuan untuk duduk di tangga terbawah, di bawah pemerintahan patriarki.

Pembebasan hakiki adalah tentang menutup telinga dari masyarakat misogini dan membuat keputusan untuk diri kita sendiri. Patriarki takut dengan perempuan yang tidak mahu mendengar perintahnya. Patriarki gerun dengan perempuan yang tidak mengikut acuan penindasan yang telah ia ciptakan sejak wujudnya alam.

Apapun caranya untuk menentang penindasan ini, ia bukanlah dengan bersenang-senang di kerusi malas. Penentangan akan menimbulkan rasa tidak selesa di ulu hati patriarki. Ia meresahkan para penindas. Kerana akhirnya perempuan bukan lagi kilang anak yang disorok di lorong paling dalam, di dapur dan di bilik apabila purnama menampakkan diri.

Untuk membunuh patriarki, kita harus bersatu hati dalam melaungkan “Tubuh Kita, Hak Kita!”. Dalam hal ini, tiada siapa yang harus tertinggal di belakang, tak kira apa pun kepercayaan, warna kulit, mahupun apa yang berada di celah kangkang kita.


Ritual bunuh patriarki:

Hari ini, renungkanlah satu kesan patriarki kepada diri anda. Curahkan betapa patriarki telah menghancurkan diri anda di atas helaian kertas. Setelah habis, bakarlah kertas (di tempat yang selamat). Bayangkan anda membakar patriarki bersama abu itu. Tanamkan abu di atas tanah, seperti mana anda menanamkan azam untuk membunuh patriarki, bermula dengan tanah yang anda pijak.