Categories
Anarko-Pondan/Queer Bangkit

Kami Pondan dan Tidak Patriotik

oleh Mustajab
bacaan: 5 minit


Kata orang, tidak kenal maka tidak cinta. Agenda negara menyemai idea untuk mencintai tanah air dan kesetiaan untuk mengjulang benderanya. Dalam naratif patriarki pula mengangkat lelaki sebagai insan yang terpilih untuk menggerakkan kepimpinan dalam sebuah sistem perwakilan. Selain dari itu, perbuatan yang melawan norma-hetero adalah salah di sisi undang-undang dan ianya ditegaskan melalui naratif keagamaan yang seiring dengan identiti bangsa. Mana mungkin untuk seorang pondan hidup dan melahirkan kecintaan kepada sebuah negara yang jelas membantah identiti songsang ini?

Dalam sebuah persekitaran yang berhirarki, pondan juga tidak terlepas dari terpengaruh dengan konsep lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian. Dari ruangan identiti persendirian ke kenalan-kenalan yang sama identiti lalu membentuk kumpulan-kumpulan sosial. Keadaan atau situasi semasa disekeliling boleh memberi impak akan bagaimana mereka menilai serta membentuk identiti diri serta kumpulan untuk tujuan yang lebih besar dalam mengecapi sebuah masyarakat yang inklusif. Namun, adakah setiap pondan berkongsi nilai politik yang sama? Mengapa tidak pondan-pondan ini hanya beraksi atas katil?

Seperti gender, politik juga mempunyai spektrum – dari kiri sehingga kanan. Ada pondan yang percaya kepada ketuanan berdasarkan agama, bangsa atau tanah air. Ada pondan yang percaya kepada sebuah negara yang dijalankan oleh kaum pekerja. Ada pondan yang melihat diri mereka berada di tengah-tengah spektrum politik, dengan pendirian yang berbeza untuk setiap faktor-faktor yang boleh diperdebat antara nilai konservatif atau progresif. Jika diizinkan dengan kelebihan, ada yang memperjuangkan politik mereka secara terbuka, ada juga secara senyap-senyap tanpa membongkar aksi songsang yang di lakukan. Ada juga kumpulan-kumpulan yang sekerasnya-kerasnya menolak unsur politik agar tidak memutuskan hubungan keakraban sesama ahli kumpulan atau memotong kehangatan aksi seksual berkumpulan. Ada juga yang setia untuk menjalankan tanggungjawab untuk pulang mengundi. Seperti spektrum gender juga, ada juga pondan yang praktis politik mereka di luar spektrum. Mereka tidak meletak diri mereka dalam kerangka politik kiri – kanan dan percaya kepada autonomi diri sendiri atau kolektif mereka.

Apa yang mencetuskan keterlibatan pondan dalam dunia politik? Mungkin ada antara mereka yang sekadar mengisi nafsu untuk kekuasaan atau menyambung tanggungjawab yang diamanatkan melalui wahyu dari entah siapa. Melalui struktur politik yang wujud pula, ada pondan yang menggunakan peluang ini untuk mengatur langkah untuk membawa naratif berbeza dalam memansuhkan nilai-nilai yang berbahaya kepada komuniti. Politik seperti ini bukan perkara yang baru. Seperti kerja-kerja advokasi, ia membuang masa, membazir tenaga dan melibatkan disiplin sopan-santun yang tinggi. Bersopan-santun ini juga secara umumnya bermaksud setiap pondan itu perlu patuh kepada etika norma-hetero walaupun untuk meminta izin untuk melawan sistem yang tidak mesra-pondan itu sendiri. Sebanyak mana organisasi yang tertubuh dalam melawan penindasan bermotifkan homofobia, ianya masih dalam kerangka kerajaan dan perlu meraih simpati kerajaan agar diberi izin untuk lulus dan dijemput bawa bincang.

Apakah maksud melawan untuk seseorang pondan itu? Tidak wajar untuk seorang pondan itu menutup identiti mereka hanya untuk melakukan perlawanan yang tidak ganas. Realitinya, pihak kerajaan bermurah untuk mendanai fobia terhadap orentasi seksual, identiti dan ekspresi gender – tidak mengira sebarang jenis pendekatan demi peperangan terhadap budaya pondan yang menggugat kedudukan penguasa dan fungsi gender dalam negara tersebut. Sistem keagamaan juga menjadi ejen propaganda negara untuk mengukuhkan pendirian norma-hetero melalui naratif-naratif keagamaan untuk mengawal dan menutup kebebasan bagi pondan yang ingin beramal dengan agama. Jika seseorang pondan itu cuba melawan, pihak kerajaan akan mengenakan sebarang tindakan atas alasan melindungi ketenteraman awam.

Melalui naratif Anarko-Pondan, kepercayaan kepada tiada sempadan dan tiada negara membawa kritik mengenai negara yang mesra-LGBTQ. Kemegahan terhadap negara yang mesra-LGBTQ seringkali menjadi perbandingan serta motivasi bagi mereka untuk berhijrah ke negara tersebut demi sebuah kehidupan yang lebih baik. Namun, hijrah seperti ini tidak akan membantu dalam perjuangan untuk menghapuskan norma-hetero, homofobia, bifobia, transfobia, transmisogini dan binari gender. Malah, penghijrahan ini juga meragut kapasiti untuk komuniti yang tertindas di sana. Ianya juga adalah satu kelebihan bagi mereka yang mempunyai akses informasi serta kemampuan untuk berhijrah ke negara mesra-LGBTQ, sedangkan kelebihan-kelebihan seperti itu boleh membantu dalam mewujudkan ruang yang mesra-LGBTQ tanpa perlu penghijrahan ke negara lain. Perbandingan yang merujuk kepada negara mesra-LGBTQ dalam usaha advokasi pula tidak membawa perubahan langsung kepada komuniti dalam sesebuah negara itu.

Bagi perayaan atau sambutan Pride pada setiap bulan Jun, walaupun secara sejarahnya adalah mengenai perlawanan dari komuniti terhadap penindasan pihak berkuasa di Amerika Syarikat, kini hanya sekadar sambutan yang disuntik dengan nilai kapitalisme. Dikenali juga sebagai kapitalisme pelangi (Rainbow Capitalism), naratif yang bertemakan penerimaan dan sambutan ini sekadar kempen-kempen kapistalis untuk menarik komuniti LGBTQ. Penerimaan kecil identiti komuniti LGBTQ ini juga diteruskan dengan promosi imej-imej komuniti yang masih berlatar belakangkan norma-hetero. Kempen-kempen yang menjadi promosi sepanjang bulan Jun pula hanya untuk menutup eksploitasi yang dilakukan oleh golongan kapitalis terhadap golongan pekerja yang juga melibatkan komuniti LGBTQ. Sakit mata melihat warna pelangi Sang Kapitalis setiap kali bulan Jun, kempen mereka juga adalah bertemakan advokasi (sopan-santun) antara komuniti liberal dengan kerajaan.

Nilai patriotisme yang melibatkan budaya perwakilan pula tidak seiring dengan nilai perpondanan. Setiap pondan itu adalah diri mereka sendiri, mereka tidak perlu diwakilkan oleh sesiapa tapi diri mereka sendiri. Ini juga adalah sebuah kritik apabila gerakan komuniti LGBTQ itu bergantung kepada sebuah sistem yang berpusat sedangkan setiap orang dalam komuniti itu mempunyai identiti, minat, fungsi, permasalahan serta keselesaan tersendiri dalam sebuah gerakan. Sistem yang berpusat pula perlu bersopan-santun dalam menjayakan misi yang tertentu dengan cara yang tertentu dan bergantung kepada suara majoriti. Melalui kewujudan kolektif-kolektif kecil, setiap mereka boleh gerakkan agenda mereka dengan cara mereka yang sendiri, tidak perlu izin atau kebergantungan kepada orang atasan. Inilah yang sepatutnya dalam kerangka Anarko-Pondan – kolektif-kolektif serta badan pondan yang bebas dalam menghapuskan binari gender, transmisogini, homofobia, bifobia, lesbofobia, transfobia, dan patriarki.