Categories
Bangkit Sejarah

Memperingati Loukanikos dan Semua Anjing Rusuhan yang Lain

oleh Kon Zing
Bacaan: 5 minit


Anjing rusuhan (riot dog) adalah istilah yang diberi oleh pihak media, pertama kali digunakan untuk merujuk kepada beberapa anjing jalanan yang menemani para demonstran di bandar Athens, Greece semasa berlakunya rusuhan pada tahun 2008. Anjing-anjing ini mendapat perhatian kerana kekal tenang walaupun berlaku pertempuran yang ganas antara pihak demonstran dengan pihak polis. Mereka juga akan ikut bertempur dengan anjing-anjing polis. Malah, ada yang menyepak kembali tong gas pemedih mata yang ditembak oleh pihak polis kembali ke sudut lawan.

Anjing-anjing rusuhan ini kemudiannya menjadi sebuah simbol perlawanan menentang penindasan, dan menjadi terkenal di kalangan media, sehingga diabadikan dalam pelbagai medium seni seperti poster, mural dinding, grafiti, stensil, kartun satira politik, lagu-lagu protes, dokumentari, aplikasi permainan mudah alih, serta tugu peringatan.

SI PENGGEMAR SOSEJ DARI BANDAR ATHENS, GREECE

Loukanikos (sosej dalam bahasa Greek); adalah seekor anjing jalanan dari bandar Athens paling terkenal (dari beberapa ekor anjing rusuhan lain) yang mengikuti pelbagai siri demonstrasi dan rusuhan membantah kekerasan serta penindasan pihak berkuasa Greece.

Beliau menjadi terkenal apabila pihak media mulai perasan akan kehadirannya setiap kali rusuhan berlaku, dan memanggilnya sebagai ‘salah satu demonstran yang paling rajin dan berdedikasi, yang tak pernah ponteng dari beraksi walau sehari pun’ kerana kelibatnya sering dirakam oleh kanta kamera mereka.

Loukanikos boleh dikenali dari jarak jauh melalui warna bulunya yang putih keemasan, serta kolar biru yang diberikan oleh rakan-rakan demontran.

Dalam keadaan kacau-bilau semasa pertempuran para demonstran melawan pihak penguasa, Loukanikos tahu yang mana kawan, dan yang mana lawan. Beliau akan sentiasa berada di sisi para demonstran dan menemani mereka melawan ketidakadilan bersama.

Akibat dari menghidu gas pemedih mata pihak polis dan banyak lagi bahan kimia lain, serta sepak terajang yang diterimanya semasa pelbagai siri rusuhan; kesihatannya menjadi semakin merosot dan ini amat membimbangkan rakan-rakan anarkisnya.

Beliau kemudiannya telah dibela dalam jagaan sekumpulan anarkis dan bersara keluar dari hiruk-pikuk bandar Athens yang masih kacau-bilau pada tahun 2012 untuk berehat dan dijaga kesihatannya.

Pada 10 Oktober 2014, Loukanikos telah mati secara aman dalam tidurnya yang lena. Beliau meninggalkan kita pada umur kira-kira 10 tahun.

Loukanikos pernah dicalonkan sebagai Animal Of The Year pada tahun 2011 oleh majalah TIME dan hampir menang! Beliau dikalahkan oleh anjing yang menemani pasukan Navy SEAL Amerika Syarikat yang memburu Osama Bin Laden dengan hanya satu anak tangga.

PEMBUNUH POLIS BERWARNA HITAM DARI BANDAR SANTIAGO, CHILE

Pada tahun 2011 di Chile, seekor anjing jalanan berwarna hitam telah kelihatan menemani para perusuh. Mereka menyertai siri demonstrasi yang diketuai oleh para aktivis mahasiswa untuk menuntut hak pendidikan yang lebih baik apabila pihak Kerajaan Chile mula mengambil keuntungan.

Para aktivis mahasiswa mengenalinya sebagai seekor komrad setia yang kekal bertahan menghadapi gas pemedih mata dan meriam air, yang cuma akan menyalak dan menyerang pihak polis, dan memimpin anjing-anjing jalanan yang lain bertempur dengan anjing polis. Anjing tersebut kemudiannya dikenali sebagai El Negro Matapacos (Pembunuh Polis Berwarna Hitam).

Antara ciri-cirinya yang paling dikenali adalah warna bulunya yang hitam, serta kain bandana berwarna merah yang diikat pada lehernya oleh rakan-rakan.

Matapacos akhirnya dibela oleh seorang wanita bernama Maria Campos yang memberinya tempat tinggal, makanan, serta memberkatinya dengan doa-doa kesejahteraan ke atas beliau sebelum Matapacos keluar rumah untuk menyertai pelbagai siri protes.

Pada 26 Ogos 2017, Matapacos telah meninggalkan kita akibat sakit tua. Beliau dirawat oleh doktor perubatan veterinar yang didanai oleh komuniti. Hari-hari terakhir beliau dihabiskan dengan berehat sepenuhnya bersama rakan-rakan yang menjaganya sejak awal rusuhan Chile bermula.

Matapacos kemudiannya diangkat sebagai satu simbol perlawanan rakyat Chile dan mencapai status sebagai entiti keramat dan mistik. Sebagai aksi solidariti kepada para demonstran di Chile pada tahun 2019, sekumpulan anarkis di Jepun telah mengikat kain bandana berwarna merah di leher tugu anjing Hachiko; seekor anjing lagenda yang terkenal dengan kesetiaannya, di hadapan stesen keretapi Shibuya.

Si Lembu dari Bandar Antofagasta, Chile

Beberapa tahun selepas kematian Matapacos, Chile sekali lagi dilanda ketidakstabilan apabila rakyatnya membantah kenaikan kos sara hidup dan harga tambang pengangkutan awam.  Semasa kebangkitan rakyat tersebut, seekor lagi anjing rusuhan lain mula muncul, iaitu El Vaquita (Si Lembu).

Vaquita sentiasa akan menemani para demonstran setiap kali ada perarakan protes, dan tiada siapa boleh menangkapnya kerana beliau terlalu tangkas di jalanan, termasuklah rakan-rakan demonstran beliau.

Pada bulan Januari yang lalu, rakan-rakan demonstrannya mula menyedari Vaquita mengalami kecederaan yang agak serius akibat ditembak peluru getah dan impak hentaman dari tabung gas pemedih mata oleh pihak polis.

Mereka berencana untuk membawanya berjumpa doktor veterinar untuk merawatnya namun Vaquita, seorang demonstran yang handal dan nakal, tahu membaca niat rakan-rakannya dan kemudian meloloskan diri setiap kali dikepung untuk dibawa ke klinik haiwan. Walau apa pun jua alasan dan cara yang digunakan oleh rakan-rakannya untuk membawa ke klinik, Vaquita sentiasa menghidu niat di sebaliknya dan kemudian melarikan diri supaya tidak ditangkap lagi.

Mengenangkan tabiatnya yang suka mengekori para demonstran setiap kali ada perarakan, sebagai langkah terakhir, rakan-rakannya terpaksa menipu Vaquita dengan menganjurkan sebuah perarakan palsu untuk menarik perhatian beliau.

Vaquita yang tidak menyedari akan hal ini mengekori rakan-rakannya untuk turut serta di dalam perarakan tersebut sambil beraksi menjadi anjing rusuhan seperti sebuah protes yang biasa dihadirinya.

Perarakan palsu tersebut mengikut laluan biasa yang dilalui oleh para demonstran dan berakhir di klinik haiwan tempatan, dan akhirnya Vaquita terpaksa akur untuk menerima rawatan yang tertangguh dengan hati yang separa rela.

MENGANGKAT SEMANGAT ANJING RUSUHAN untuk TERUS MELAWAN

Loukanikos, Matapacos serta Vaquita dan anjing-anjing rusuhan lain seperti mereka, adalah satu simbol perlawanan untuk membuktikan bahawa bukan sahaja manusia, malah haiwan juga akan turut serta melawan penindasan dan ketidakadilan!

Adalah amat menyedihkan apabila masih terdapat kes-kes penderaan haiwan yang berlaku pada masa sekarang. Anjing-anjing liar yang ditangkap dan dilayan dengan kejam malah disorak oleh para warganet atas kezaliman yang terjadi ke atas mereka, atas alasan ‘demi menjaga kesejahteraan rakyat’ yang dilaungkan oleh pihak berkuasa tempatan. Bukankah bumi ini luas dan cukup untuk dikongsi bersama?

Seorang kanak-kanak yang tidak terasuh untuk mendekati haiwan akan membesar menjadi seorang dewasa yang membenci haiwan. Padahal mereka tidak pernah cuba untuk memahami pun, dan dibentuk pemikirannya berdasarkan apa yang mereka perhatikan.

Kita perlu bersama-sama menyantuni setiap mahkluk di atas muka bumi ini kerana apabila berlakunya penindasan, kita cuma ada sesama kita. Jangan biarkan kepercayaan dan budaya yang lapuk menjadi batu penghalang kepada kita mengenali dan mencintai mahkluk yang lain.

Jika anjing pun boleh bersama turun ke jalan melawan ketidakadilan, sila tanya pada diri sendiri; mengapa tidak anda?