Categories
Anarkisme Bangkit Terjemahan

Mengapa Kita Memecahkan Tingkap?: Bahagian II

oleh Kon Zing
Bacaan: 7 minit
Diterjemah dan diadaptasi dari
Why Break Windows tulisan Armeanio Lewis


Seperti ketegangan, terdapat perbezaan di antara reaksi melawan kekuasaan, dengan reaksi anarkis terhadap kekuasaan. Bagi orang ramai, reaksi hanyalah meluahkan rasa tidak senang terhadap penindasan yang berlaku. Aduan dan umpatan di kalangan rakan sekerja terhadap bagaimana seorang bos yang menindas pekerja memuji-muji diri mereka sendiri sebagai manusia yang paling baik hati di atas muka bumi ini. Sekumpulan pengunjung kelab malam melepak di dalam tandas, membahan dan mengejek mamat penjaga kelab yang cuba untuk memikat mereka dengan cara yang paling mengarut.

Reaksi tersebut hanyalah sebagai suatu ‘kelegaan’ ke atas rasa ketegangan itu – di mana mereka tidak berhadapan dengannya secara terus dengan kekuasaan yang mereka ada, tetapi sebaliknya mengalihkan kemarahan tersebut ke dalam ‘keluhan-keluhan kecil’ untuk memendamnya, supaya mereka boleh meneruskan kehidupan mereka yang menyedihkan dan penuh dengan penindasan itu.

Reaksi Anarkis

Contoh yang lebih moden dan dekat dengan semua orang adalah menandatangani petisyen. Laman web seperti Change.org, atau Petitions.net menyediakan akses untuk menghasilkan sebuah petisyen semudah ABC, kemudian anda akan berusaha untuk menularkannya dalam masa beberapa minggu, sambil mengumpulkan khabar angin (boleh jadi fitnah atau gosip yang tidak ada asas) serta penyokong sebanyak yang mungkin. Kemudian, apabila semua usaha serta kempen untuk mengumpul tandatangan telah dilakukan, petisyen tersebut serta segala usaha disebaliknya akan hilang dan lenyap sehinggalah wujud petisyen yang baharu, atau ketika munculnya gerakan sosial baru untuk dtunggang oleh semua orang. Ia akan sentiasa bergerak, kemudian akan berehat dan mengambil jeda sebentar, dan akan kembali ‘membeli’ gerak kerja kerana anda sentiasa menyerahkan segalanya terhadap apa yang anda percaya.

Contoh moden yang lain adalah  peranan laman-laman artikel dan portal-portal berita yang berpendapat bahawa ‘keadilan sosial’ sebagai sebuah konsep yang bermakna seperti Huffington Post, atau Jezebel, atau bahkan Black Girl Dangerous. Menyiarkan artikel demi artikel berdasarkan isu-isu sosial terbaharu yang hangat mempengaruhi masyarakat moden dan seluruh penduduknya. Namun, sama seperti petisyen, ia hanyalah sebuah usaha kecil yang tak ubah seperti ‘keluhan’ – hanya menyatakan rasa untuk melawan dan menentang, tetapi tidak pernah menjadikannya sebagai kenyataan di luar media sosial. Juga harus dinyatakan di sini bahawa semua laman web ini menampilkan iklan-iklan, yang menjana pendapatan untuk pemilik media ini. ‘Keluhan’ ini bukan sahaja tidak berguna, malah dikomersialkan! Bosan dengan isu perkauman dan konsep ketuanan orang berkulit putih? Baca artikel ini dan oh, salurkan juga wang kepada kami berdasarkan kemarahan dan kekecewaan anda!

* Gabungan kepada kedua-kedua ‘keluhan tidak berguna’ di atas adalah apa yang digelar sebagai ‘PowerPoint Activism’, trend yang kian popular di laman Instagram dan Twitter sekarang. Sama seperti petisyen dan artikel di portal berita, ia merumuskan isu-isu sosial kepada beberapa titik perbincangan penting dan infografik yang ringkas – kemudian menyusunnya menjadi paparan seni reka grafik dengan warna-warna yang terang dan cantik serta dipenuhi dengan ayat seperti “Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kemiskinan Luar Bandar” atau “5 Cara Untuk Menghubungi Ahli Parlimen Anda Tentang Penebangan Hutan Simpan” untuk menarik perhatian orang ramai supaya mereka boleh kongsikannya di akaun peribadi masing-masing. Trend ini menjadi terkenal dan cepat tular kerana ia mudah disebarkan – semudah menekan butang ‘Kongsi’, padahal ia adalah satu bentuk aktivisme yang malas. Dan sama juga seperti kedua-kedua keluhan di atas, kebiasaannya ia akan berakhir dengan seruan aksi yang langsung tidak berkesan.

Dan di sinilah reaksi anarkis menyimpang dari reaksi yang ringkas dan sederhana. Sebagai anarkis, kita mengambil sesuatu perkara lebih jauh. Kita adalah individu yang radikal, pemberontak, ikonoklastik, nihilistik yang satu-satunya tujuan hidup adalah untuk menghancurkan apa yang menghancurkan kita. Kapitalisme, Ketuanan Bangsa, Patriarki, semua alat dominasi yang bertujuan untuk mengawal kita, yang mengharapkan kita sentiasa tunduk dan patuh. Ia tidak akan dipenuhi dengan pengisytiharan penentangan yang ringkas dan sederhana, tetapi dengan tindakan aksi langsung yang pantas dan tegas, yang bukan sahaja hanya mengisytiharkan perang, tetapi juga akan mengejutkan mereka yang berkuasa. Dari aksi memecahkan tingkap yang ringkat sehinggalah ke penanaman bom atau rompakan bank, tindakan dan aksi kita didengari dan dirasakan berbanding diabaikan begitu sahaja atau dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan seharian.

Sebagai anarkis, reaksi kita bukan sekadar mengeluh dan memendamnya tetapi kita juga perlu ada kemarahan dan keberangan yang berterusan dan konsisten terhadap masyarakat ini. Kemarahan kita tidak berpusat dan tertumpu pada aparat-aparat tertentu secara spesifik, tetapi kita menentang mereka semua secara keseluruhan. Kemarahan kita tidak dapat diketepikan, tetapi ditentang dengan penindasan yang keras. Serangan dari FBI atau agensi-agensi kerajaan lain, hukuman penjara yang panjang, penyusupan ejen-ejen negara dan pihak berkuasa ke dalam kelompok kita. Terlalu banyak sumber daya dan tenaga ditempatkan terhadap kita untuk membungkam kerana aksi reaksi kita, bukan kerana pendirian kita. Sesiapa sahaja boleh menyatakan bahawa mereka menentang polis, tetapi itu hanyalah sekadar reaksi semata-mata. Kita tidak hanya menyatakannya, malah kita bertindak dengan menghancurkan jentera-jentera negara dan membakar pejabat mereka; kerana ini adalah reaksi anarkis.

Mengapa Perlunya Kita Melakukan Aksi Memecahkan Tingkap?

Akhirnya, balik ke titik asal perbincangan zine kecil ini; mengapa kita memecahkan tingkap? Seperti yang dinyatakan pada awal perbincangan, soalan ini mempunyai jawapan yang amat ringkas, yang tidak memerlukan keseluruhan halaman untuk menjelaskan atau mewajarkannya. Memecahkan tingkap hanyalah gambaran kecil kepada tindakan lebih besar dan hebat yang dilakukan oleh anarkis lain. Sama ada anda pro-keganasan dan terorisme nihilis, atau jika anda menentangnya, kita semua boleh bersetuju bahawa idea adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan hebat daripada sekadar memecahkan tingkap. Namun, sebagai anarkis, menjadi besar dan hebat bukanlah titik asal kemarahan kita. Sama ada kita membina rangkaian jaringan solidariti untuk membantu rakan-rakan kita menentang kawalan dan penderaan dengan menggunakan taktik-taktik yang licik, atau jika kita merompak bank untuk membiayai aktiviti-aktiviti revolusi kita – kita semua menyumbang kepada sebuah idea yang ringkas bahawa kita adalah pencipta kepada pengalaman kita sendiri. Bukan masyarakat, bukan kapitalisme, bukan sistem kawalan yang dibina secara sosial seperti bangsa atau darjat. Dengan cara kita sendiri, kita semua melawan kembali dan yang penting, bukan sahaja secara taktik, tetapi juga secara emosi untuk menyokong dan menyatakan solidariti dengan aksi-aksi penentangan dan perlawanan. Kita boleh mengkritik, kerana itulah apa yang kita lakukan, tetapi kita juga dapat menerima dengan hati yang terbuka dan memuji aksi orang lain.

Jadi daripada menjelaskan atau mewajarkan tindakan memecahkan tingkap, lebih baik kita mengambil jalan yang lebih berisiko dan cuba untuk meyakinkan anda mengapa anda harus memecahkan tingkap sekiranya anda berpeluang untuk melakukannya.

Aksi memecahkan tingkap, sama seperti aksi-aksi perlawanan yang lain, adalah sangat menarik dan menyeronokkan sama seperti ia juga berisiko tinggi. Merasakan adrenalin mengalir apabila anda berlari menghala ke sebuah tingkap dan memecahkannya dengan batang bendera adalah satu pengalaman yang tidak selalu kita semua pernah atau biasa alami. Perasaan ketika menjerit “FUCK OFF!” atau “PERGI MAMPUS!” kepada polis tidak boleh dibandingkan dengan perasaan apabila kita memecahkan tingkap kereta perondanya! Menyembur grafiti dengan tulisan “PEMAJU SIAL!” atau “GENTRIFIKASI PERGI MATI!” pada dinding kafe hipster yang baru dibina tidak boleh dibandingkan dengan ketika kita memecahkan tingkap kafe tersebut semasa rusuhan atau aksi serangan yang kecil dan ringkas bersama rakan-rakan seperjuangan! Memecahkan tingkap adalah aksi serangan yang paling hebat dan menaikkan ketegangan yang sedia ada, dan anda boleh melakukannya tanpa menghadapi tindakan undang-undang yang lebih berat. Memecahkan tingkap juga sangat mudah untuk dilakukan.

Seorang anarkis yang bijaksana pernah mengatakan dalam tulisan puitisnya, bahawa kebebasan bukanlah tujuan yang dapat dicapai, melainkan ia adalah pengalaman hidup, yang kita rasakan apabila kita menyertai gerakan bawah tanah yang sulit dan rahsia serta membalas keganasan sistem dan negara.

Menyembur grafiti dengan slogan perlawanan akan membuat anda rasa bebas, memecahkan tingkap akan membuat anda rasa bebas, menjerit “FUCK THE POLICE!” beramai-ramai juga akan membuat anda rasa bebas. Ia merupakan perbuatan dan aksi ringkas tanpa makna, kecuali apabila makna kepada aksi-aksi tersebut datang dengan reaksi anarkis dan ketegangan anarkis.

Menghancurkan tingkap juga adalah aksi yang sangat terkenal, dan adalah pewujudan propaganda dengan perbuatan yang amat berkesan. Saya tidak akan menulis tulisan ini jika bukan kerana seorang anarkis yang memecahkan tingkap di hadapan saya. Aksi tersebut nampak seperti amat menarik dan menyeronokkan sekali! Saya juga sering terdengar laungan “Anarki sekarang!” jadi saya pun terus membuat carian di Google: Adakah aksi memecahkan tingkap akan memberi inspirasi kepada semua orang? Sudah tentu sekali tidak! Tetapi, ia akan memberi inspirasi kepada seseorang.

Akhir sekali, mengapa tidak? Memecahkan tingkap secara umumnya atau sebahagian besarnya berlaku pada 3 situasi: Semasa rusuhan, demonstrasi jalanan, atau ketika aksi langsung pada waktu malam yang dilakukan bersama rakan-rakan seperjuangan. Secara alternatifnya atau yang paling kerap terjadi, aksi tersebut berlaku apabila ketiga-tiga situasi di atas digabungkan. Dalam semua situasi di atas, anda akan hadir kerana anda seorang anarkis, jadi lakukannya sebagai satu reaksi anarkis! Tukarkan laungan slogan yang membosankan dan membantutkan revolusi itu kepada sebuah tuntutan kebebasan, alami sendiri apa itu kebebasan yang sebenar, dan rasai apa ertinya untuk menentang dan melawan kembali sebagai seorang individu, rampas kembali kekuasaan untuk diri anda sendiri, dan lemparkan batu yang berada di tangan anda!


* Ketika artikel asal ditulis pada tahun 2017, trend aktivisme seperti yang dinyatakan pada perenggan tersebut masih belum wujud atau belum popular. Penterjemah merasakan hal ini penting untuk dimasukkan sekali ke dalam tulisan ini kerana trend tersebut semakin menjadi-jadi dan dirampas oleh golongan liberal, yang akhirnya melahirkan kelompok aktivis ‘pemalas’ yang tidak mahu melakukan gerak kerja selanjutnya. Seruan tindakan mereka juga tidak boleh keluar dari kerangka menandatangi petisyen, mengundi, dan menulis surat kepada ahli-ahli politik. Mereka merasakan bahawa kerja-kerja aktivisme mereka untuk hari ini telah selesai apabila mereka menekan butang ‘Kongsi’ di skrin telefon pintar mereka.