Categories
Anarko-Pondan/Queer Bangkit

Pondan: Satu Identiti

oleh Mustajab
Bacaan: 4 minit


Pondan sering digunakan terhadap lelaki yang berwatakan perempuan atau dalam bahasa pengajian gender; lelaki yang mempunyai ciri feminin. Namun, soalan yang lebih mendalam mengenai stereotaip seorang pondan, adakah mereka sekadar terhad kepada ciri berlawanan kepada apa yang ‘ditakdirkan’ kepada alat kelamin mereka?


Merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka:

[pon.dan]

Definisi : 1. laki-laki yg lebih bersifat kepe­rempuanan, banci, kedi, papak, ponen; 2. ark perempuan yg lebih bersifat kelelakian.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)

Perkataan ‘pondan’ juga boleh digunakan untuk perempuan yang bersifat kelelakian, atau dalam bahasa pengajian gender; perempuan yang mempunyai ciri maskulin. Namun, secara rojak-nya ramai antara kita yang menggunakan istilah ‘pengkid’ untuk merujuk kepada perempuan yang bersifat maskulin. Pengkid juga tidak wujud dalam Kamus Dewan, setakat pencarian sehingga penulisan ini dilancarkan
(1 Jun 2020).

Penggunaan istilah jantina atau seks dalam konteks tempatan masih berdasarkan kepada alat kelamin seseorang dan ini adalah salah satu bentuk transfobia yang berlaku walau dalam ruang perubatan. Tanggapan serta peranan gender yang binari ditambah dengan norma-hetero pula menentukan identiti mana yang lebih berkuasa dalam sistem piramid sosial. Namun, perkataan gender membawa naratif mengenai maskulin, feminin dan neuter sebagai sebuah ekspresi kepada jantina seseorang.

[gén.der]

Definisi : (génder) 1. jantina: pelantikannya adalah berasaskan pencapaian, sumbangan dan kebolehannya, bukannya kerana ~; 2. (Lin) golongan jenis kata dlm tatabahasa sesuatu bahasa spt maskulin, feminin dan neuter. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Merujuk kepada spektrum-spektrum di atas, X boleh menjadi sebahagian daripada spektrum atau di luar spektrum. Terma-terma yang wujud untuk Identiti Gender termasuk cis-gender (cis-lelaki/cis-perempuan), transgender (trans-laki/trans-puan), pondan (queer), bendalir (fluid). Terma-terma untuk Orientasi Seksual pula meliputi heteroseksual, homoseksual, gay, lesbian, biseksual, panseksual. Jantina walau kebiasaan hanya kepada lelaki dan perempuan, kebanyakan interseks telah ditetapkan jantina mereka kepada lelaki atau perempuan sejak lahir – membawa kepada kritikan terhadap penentuan jantina terhadap interseks. Selain dari binari maskulin dan feminin untuk Ekspresi Gender, ada yang selesa dengan androgini manakala pondan (queer) dan bendalir (fluid) juga diguna pakai.

Banyak istilah yang masih asing dalam perbualan tempatan mengenai ekspresi diri. Ekspresi diri yang pelbagai adalah sesuatu yang tidak asing dalam konteks tempatan walau kini hanya segar sebagai tradisi utama tarikan pelancongan atau sekadar peringatan dalam sejarah. Melalui pemantapan institusi agama dalam negara, kewujudan polis moral memastikan aturan sosial berdasarkan nilai partriarki dan jantina (alat kelamin) yang akan menentukan peranan dan nasib individu tersebut dalam masyarakat.

queer

Definisi : vt; ~ so’s pitch, (colloq) rosaklah + approp n sso: if I tell him the truth, it will ~ your pitch, jika saya beritahu dia perkara yg sebenar, rosaklah peluang kamu. (Kamus Inggeris-Melayu Dewan)

adj 1. strange, odd, aneh, pelik: a ~ thing happened as I was on my way here, satu perkara yg aneh berlaku dlm perjalanan saya ke sini; what a ~ thing to say, pelik betul kata-katanya (Kamus Inggeris-Melayu Dewan)

Perjuangan identiti dan seksualiti juga melibatkan usaha untuk takluk semula terma yang memberi makna kepada individu/komuniti tersebut. Perkataan queer pada asalnya adalah perkataan penghinaan yang digunakan oleh heteroseksual terhadap homoseksual yang melakukan perbuatan atau hubungan yang dipandang aneh atau pelik oleh kaum heteroseksual. Namun, ianya diguna semula secara positif dalam memperingati penindasan seksualiti dan secara langsung menjadi sebuah perjuangan identiti. Penggunaan perkataan queer juga merujuk kepada identiti yang selain dari binari gender (lelaki-perempuan/feminin-maskulin).

Walaupun secara definisi pondan mempunyai nilai binari (lelaki<>perempuan), pemahaman serta penggunaan perkataan tersebut lebih mudah untuk difahami. Dalam kerangka Anarko-Pondan (alih bahasa dari Anarcho-Queer), perkataan pondan boleh diguna sebagai sebuah kritikan terhadap binari gender dan peranan ia. Pondan juga mengkritik nilai kesopanan masyarakat terutamanya pembudayaan gaya hidup heteroseksual sebagai sebuah norma (norma-hetero) yang ditafsirkan oleh negara serta institusi.

Seperti perkataan queer, pondan juga adalah sebuah perkataan yang politikal.

Jadilah Pondan, Buatlah Jenayah!