Categories
Anarkisme Anarko-Pondan/Queer Kelola

PondanBantuPondan – Queer Solidarity Fund (Gender and Sexual Alliance Kota Kinabalu)

oleh: Mustajab

bacaan: 3 minit


Kes pertama COVID-19 di Sabah dicatitkan pada awal tahun 2020 dan seterusnya meningkat melibatkan mereka yang menghadiri acara yang berhimpun. Namun, dengan pengumuman pilihanraya negeri Sabah pada bulan Ogos, berlaku pergerakan jentera-jentera parti politik bersama politikus dari Malaya terus ke Sabah. Rentasan jarak jauh ini penting bagi warga politikus yang konon-kononnya nak memartabatkan demokrasi Negeri Di Bawah Bayu.

Nak dijadikan cerita, berkempen ke sana-sini dengan SOP, kembali ke Malaya pon masih sempat jumpa peminat bagai. Pejam celik, pejam celik, keluar berita Kluster Menteri, baru menteri nak duduk kuarantin, nombor kes baharu COVID-19 di Sabah meningkat, hospital huru-hara tidak cukup ruang, kerajaan yang baru diundi tiada tindakan, kerajaan persekutuan sekadar nasihat serta kuat kuasa denda melampau, sempat nak halau yang bukan warganegara.

Apabila kerajaan tidak berfungsi, maka rakyat-lah yang berfungsi. Sejak dari awal pandemik, telah tular keperluan bantuan di ruang media sosial. Dari situ, tabung-tabung kutipan dana muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Penggunaan tanda palang juga digunakan untuk memanjangkan solidariti tersebut kepada netizen. Namun, trend tabung dana ini juga menjadi sebuah kesempatan untuk geng-geng politik turut serta mendanai tabung mereka sendiri. Mencurigakan apabila gol tabung yang setinggi RM50K itu tercapai kurang dari 1 minggu, sungguh pemurah manusia ketika pandemik ini.

Seperti di Malaya, tabung dana di Sabah juga tidak kurang banyaknya demikian demografik dan komuniti yang jauh dari kawasan utama atau bandar. Bagi kenalan dari GSAKK (Gender and Sexuality Alliance Kota Kinabalu), tabung Queer Solidarity Fund pada asalnya ditubuhkan untuk membantu komuniti LGBTQ di sekitar Kota Kinabalu yang terkesan dari pandemik. Dengan peningkatan kes baharu serta SOP perniagaan menyebabkan penutupan serta pengurangan operasi sektor kecantikan, komuniti pondan di Kota Kinabalu dan Sabah secara amnya memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan kerana tiada punca pendapatan.

Bersempena dengan kempen One Day One Struggle oleh CSBR, Cempaka Collective telah anjurkan PondanBantuPondan, sebuah laman sesawang yang membincangkan mengenai solidariti kepada komuniti pondan. Laman sesawang tersebut terdapat warung dalam talian di mana setiap pembelian akan diberikan dana kepada tabung QSF. Selain itu, terdapat juga ruang untuk berborak secara tanpa nama. Forum selama 2 jam bersama GSAKK juga berlaku untuk membincangkan mengenai situasi terkini mengenai komuniti di Sabah. Laman sesawang itu hanya aktif selama 24 jam sebagai langkah keselamatan.

Perkongsian GSAKK mengenai QSF, taktik pemberian dana berubah dari pemberian wang kepada pemberian hamper makanan oleh kerana para penerima tidak mempunyai akses ke kedai. Sejak pandemik COVID-19 berlaku, aktiviti pemolisan/memoliskan identiti warganegara dan gender memutuskan akses komuniti untuk membeli-belah di kawasan sekitar. Perkongsian mengenai QSF di media sosial pula membawa kritik untuk solidariti pengagihan dana yang mesra-pondan. Walaupun wujud banyak tabung dana di Sabah, tidak semua mahu bersolidariti dengan nama pondan. Ada juga yang sekadar berkongsi untuk dilihat baik dari sudut pandang norma-hetero.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan pengagihan bantuan, GSAKK berkongsi antara batasan untuk merantau semasa pandemik. Mereka perlu mengharungi pemeriksaan polis atas jalan raya di mana mereka perlu mempunyai dokumen untuk pergerakan tersebut. Setiap perjalanan yang memakan 45 minit, pasukan GSAKK menggunakan sumber yang sedia ada tanpa menyentuh duit tabung QSF untuk memberi bantuan kepada penerima. Perbualan bersama GSAKK dan komuniti dari Semporna, transfobia dalam keadaan pandemik menyukarkan kelangsungan hidup mereka dan terpaksa melakukan aktiviti yang lasak untuk mengelakkan diri dari pihak penguasa.

Pada waktu artikel ini ditulis, QSF telah terima RM24K dari gol tabung berjumlah RM38K. GSAKK juga akan muat naik informasi terkini mengenai jumlah dana yang diterima dan pengagihan sumbangan tersebut melalui laman sosial media mereka. Walaupun tabung QSF masih berjalan dan gol dana akan berkembang berdasarkan permintaan bantuan, menjadi sebuah persoalan mengapa tabung ini masih tidak tercapai golnya jika dibandingkan dengan tabung-tabung dana di Malaya? Paling menghairankan apabila tabung dana yang dilakukan oleh golongan cis-gay di Malaya mampu mencapai RM50K dalam masa 2 minggu dari gol asalnya RM30K, sedangkan QSF sudah berbulan-bulan wujud tapi masih tidak tercapai gol serendah RM38K? Mungkin RM50K adalah sebuah nombor hikmat.

Bagi sesiapa yang terlepas, Cempaka Collective telah keluarkan Emergency Pondan Kit bagi sesiapa yang memberi sumbangan serendah RM50 kepada GSAKK untuk QSF sepanjang bulan November dan Disember 2020. Selain dari itu, melalui acara PondanBantuPondan terdapat sesi perbincangan antara Cempaka Collective, para penyumbang bersama GSAKK dan komuniti di Sabah. Promosi warung dalam talian juga disediakan untuk turut bersama menggalakkan sumbangan kepada QSF. Bagi yang berminat untuk menyumbang, sila lawat laman sosial media GSAKK.

Kekal radikal dan bantu kolektif pondan tempatan.