Categories
Anarkisme Tarot

Sembilan Bilah Pedang dan Resah yang Panjang

oleh Erin Malikhain
Bacaan: 3 minit
Gambar oleh Jonathan Kemper melalui Unsplash


Pandemik COVID-19 benar-benar telah menduga manusia dari pelbagai segi. Ia bukan sahaja mengancam kesihatan fizikal (terutamanya golongan rentan imunisasi), namun ia mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan emosi dan mental. Ramai orang hidup dalam perasaan tidak tenang, memikirkan hari esok nak makan apa, adakah kita masih akan ada tempat berteduh, apakah masih ada pekerjaan yang boleh dilakukan tanpa perlu menjejakkan kaki ke luar dan terdedah kepada jangkitan COVID-19? Terasa seperti tidur bangun dalam kad tarot Sembilan Bilah Pedang.

Pandemik ini telah memperlihatkan tentang bagaimana seseorang itu berikhtiar untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan di saat orang lain juga sedang mengalami nasib yang sama. Ramai di kalangan masyarakat setempat hidup sederhana dan cukup untuk perbelanjaan sehari, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita telah lama mandiri tanpa perlu bergantung harap pada dasar-dasar politik yang mementingkan kapitalis yang semakin berpoket tebal, ketawanya mengisi sekuat alam, kerana dia bahagia makan duit dari orang miskin. Tapi bagaimana dengan orang miskin yang hanya mahu hidup cukup untuk hari ini?

Risau. Resah. Gelisah. Dipaksa tinggal di rumah, empat muka dinding keliling. Saling pandang antara teman serumah, bertanya “Kita nak makan apa hari ni?”

Realitinya, kita sudah tidak ada ruang lagi dalam kepala kita untuk memikirkan apakah perlunya seseorang pemerintah di waktu kita sedang susah. Kita melihat mereka bebas tanpa ancaman kewangan ketika pandemik, kerana setiap titik peluh kita, setiap sen yang kita keluarkan di kedai, menyumbang kepada gaji mereka. Untuk mereka berkelakuan seperti pelatih binatang sarkas yang melibas cemeti kepada binatang yang mereka paksa bekerja untuk mereka. Lingkaran ini tidak akan berakhir, kerana kita adalah binatang yang bekerja untuk mereka, melainkan kita memutuskan untuk menamatkan rangkaian ini. Tidak ada siapa yang perlu bekerja untuk orang lain, melainkan dirinya sendiri.

Dalam gambarajah Sembilan Bilah Pedang ini, kita melihat seseorang sedang menangis sambil duduk di atas katilnya, di mana ada sembilan bilah pedang di dindingnya. Namun ia tidak menyakitinya secara fizikal, sebaliknya pedang tersebut adalah fikirannya yang terganggu dan bercelaru. Saban hari dia bangun dengan rasa kecewa dan sedih, adakah dia mampu untuk meneruskan liku-liku kehidupannya?

Pandemik ini belum menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan surut dalam masa yang terdekat. Jangkitan COVID-19 amat berbahaya dan membawa maut. Tetapi tahukah rakan-rakan apa yang lebih bahaya dari jangkitan COVID-19? Kebangsatan pemerintah yang tidak ada penghujungnya. Apabila rakyat marhaen dibiarkan terkontang-kanting dalam menguruskan kehidupan seharian. Sebelum ini, rakyat telah sedia ada menderita dicengkam kapitalisme serta pemerintahan yang korup. Pandemik ini telah menyerlahkan bahawa hanya kita, orang miskin dan tertindas, saling membantu satu sama lain meskipun kita sendiri hidup susah. Hanya orang miskin dan tertindas tahu rasanya hidup dengan gaji harian dan bergelut dengan kesusahan hidup. Oleh kerana itu, kebangkitan orang miskin yang percaya bahawa kita tidak perlu hidup diperintah adalah pemikiran yang perlu dibangunkan dengan segera.

Kita perlu beralih dari Sembilan Bilah Pedang hingga ke Sepuluh Bilah Pedang – mengakhiri lingkaran dan membebaskan diri dari cengkaman pemerintah yang memeras kita supaya menyara hidup mereka, dan seterusnya membangunkan masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain tanpa perlu memilih ketua dan pemerintah.

Kerana pada akhirnya, kita hanya ada orang yang kita percayai untuk saling jaga antara satu sama lain.