Categories
Anarko-Feminisme Bangkit Seni Tarot

Seni Kemusnahan: Menggegar Keselesaan

oleh Erin Malikhain
Bacaan: 3 minit


Dalam kad tarot, ada satu kad yang bertanyakan soalan: Apakah kau sudah terlalu senang duduk di takhtamu, sehingga kau tidak boleh diturunkan dan dihancurkan?

Kehancuran yang sebenarnya adalah kehancuran dari kebiasaan sedia ada. Ramai yang lahir atas dulang emas, warisi nama bapa yang megah dan warna kulit yang majoriti. Apabila kita terbiasa ditaburkan dengan kelebihan ini, kita sudah tidak mahu mendengar apa yang sedang berlaku di luar. Buat apa kita hidup dalam huru-hara, apabila kita sudah senang begini?

Aku tertarik menulis tentang kad Menara ini apabila terlihat satu gambar yang muncul selepas riot di Minneapolis melihat kebangkitan rakan-rakan menentang keganasan polis dan autoriti secara terang-terangan ke atas George Floyd, yang dibunuh dengan hentakan kaki di kepalanya selama 15 minit, meskipun merayu berkali-kali kerana dia tidak boleh bernafas.

Gambar oleh Slate MK2 dan suntingan Rohit Dhir ini diambil pada 29 Mei, menggambarkan salah satu bangunan yang dibakar di Minneapolis. Bangunan tersebut dikenalpasti sebagai projek apartment yang belum diduduki, Corridor Flats yang bernilai 12 juta US Dollar dibangunkan oleh Wellington, sebuah perusahaan keluarga sejak 1984, mempunyai nilai portfolio sebanyak 400 juta US Dollar. Di kala seluruh dunia sedang hilang pekerjaan dan rumah kerana tidak cukup wang untuk kelangsungan hidup, apakah kita perlu menabur kasihan pada mereka yang memeras kita dari keperluan kita? Fikirkan.

Bangunan boleh dibina semula, tapi kita tidak boleh bina semula nyawa yang telah hilang, dirampas oleh pengganas yang ditaja oleh kerajaan ini.  Di Malaysia, kematian dalam tahanan adalah isu yang kerapkali tidak diendahkan oleh masyarakat massa, kerana kiblat moral serta rasisme yang telah berakar umbi dalam masyarakat yang berselindung di sebalik lagu-lagu perpaduan yang menjadi halwa telinga setiap kali menyambut hari kemerdekaan.

Keganasan polis adalah perkara yang jarang sekali dibincangkan oleh masyarakat secara keseluruhan. Mungkin kerana kita sukar untuk melihat dunia tanpa polis, tanpa jaminan keselamatan. Tapi telah banyak bukti yang sedia ada menunjukkan bahawa polis bukan penyelamat ataupun malaikat yang boleh menyelamatkan kita dari jenayah. Ada pun mereka cuma menambahkan ketakutan kepada golongan yang tertindas.

Beberapa laporan akhbar ini aku kepilkan untuk renungan semua.

Bangunan yang dibakar hanyalah simbolik kepada kehancuran kecil yang boleh dilakukan oleh kaum tertindas, sekiranya kita semua bertekad untuk menentang penindasan ini. Penentangan tidak akan berlangsung dengan duduk diam dan memasukkan kertas undi ke dalam kotak, jauh sekali dengan memakai sut dan minum kopi bersama ahli politik dengan harapan mereka akan meluluskan rang undang-undang dan polisi yang menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat jelata.

Undang-undang di bawah kekuasaan negara dan polis hanyalah undang-undang yang diciptakan agar masyarakat kelas bawahan tidak boleh mempunyai autonomi mereka sendiri. Dengan ciptaan undang-undang ini, masyarakat dipaksa untuk patuh dan tidak mempersoalkan ketidakadilan yang dilaksanakan ke atas mereka.

Penentangan hanya akan berkesan sekiranya kita berhenti berharap kepada pemerintah dan menuntut semula keamanan yang dijaga oleh diri kita sendiri.

Kolaj oleh Erin Malikhain, bertajuk The Tower (2020).