Categories
Anarko-Pondan/Queer Seni

Waris Jari Hantu (2007): Harimau Saka & Transgender

oleh Mustajab
Bacaan: 5 minit


Walaupun filem Waris Jari Hantu keluar pada tahun 2007, baru-baru ini Kami berpeluang untuk menonton filem ini atas cadangan Kon Zing. Watak-watak utama yang dalam filem ini dibintangi oleh Maya Karin, Rusdi Ramli dan Azean Irdawaty. Filem ini juga telah memenangi anugerah Pengarah Terbaik untuk Shuhaimi Baba, Pelakon Lelaki Terbaik untuk Rusdi Ramli, dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk Azean Irdawaty di Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM-20).

Filem ini mengisahkan Tok Wan Rimau mencari pewaris untuk harimau saka. Diceritakan bahawa ia hanya boleh diwariskan kepada perempuan sahaja.

Arina (nama lahir: Ari), seorang khunsa sejak lahir berwatakan feminin. Watak feminin ini dikritik apabila Arina diejek namun dibela oleh ahli keluarga beliau. Apabila Tina bertanya mengenai perancangan perkahwinan, Arina menolak dengan alasan tidak mampu untuk ada anak dan kerana beliau bukan lelaki sejati. Ini membawa persoalan andai Arina secara biologi tidak mampu untuk pembiakan atau kerana identiti gender beliau yang akan mengelirukan sebuah perkahwinan heteroseksual. Beberapa tahun kemudian Arina berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sana, namun masih tidak terlepas dari ejekan orang sekitar yang memanggil beliau sebagai Mat Kepit.

Tidak selesa dengan segala ejekan, Arina berjumpa Tina sebelum berlepas ke Singapura untuk melakukan pembedahan menukar jantina. Sepanjang di Singapura, Arina tidak berkomunikasi dengan keluarga termasuk Tina. Sekembalinya Arina bersama Em (nama lahir: Ah Meng) ke Malaysia, Tina terkejut untuk melihat perubahan yang berlaku kepada Arina. Keadaan menjadi tegang apabila Tina bersikap transfobik terhadap Arina.

Arina sukar untuk membuat pinjaman bank oleh kerana penampilan beliau yang berbeza dengan kad pengenalan. Percubaan untuk menukar jantina pada kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara juga ditolak atas alasan undang-undang yang tidak membenarkan penukaran jantina. Pada waktu yang sama Em diburu Ah Long kerana meminjam wang untuk Arina. Arina yang tidak selesa dengan segala permasalahan kemudian mahu pulang ke kampung untuk melawat keluarga di sana.

Apabila Arina pulang ke kampung, dia tidak diterima dengan baik oleh kakak beliau, Kasma walaupun ahli keluarga yang lain tidak ada masalah untuk menerima Arina. Namun, Mak Hayati menasihati Kasma bahawa Arina adalah seperti insan yang pernah dia kenal dahulu. Tok Wan Rimau juga memuji kecantikan Arina. Walaupun ahli keluarga Arina telah menerima identiti-nya, mereka risau andai ada orang yang akan mengata mengenai perubahan tersebut. Arina yang terdengar perbualan mengenai kerisauan itu menyebabkan beliau bertindak untuk memotong rambutnya.

Arina tercedera apabila cuba selamatkan Em dari dikejar oleh anak buah Ah Long. Apabila Arina dirawat oleh Tok Wan Rimau, Tok Wan Rimau telah mewariskan harimau saka kepada Arina di samping Tina menjadi pembantu dalam ritual tersebut. Sebelum melafazkan nafas terakhir, Tok Wan Rimau berpesan kepada Tina untuk sentiasa menjaga Arina. Di akhir cerita, Arina dan Tina melepaskan antara satu sama lain lalu Arina berubah menjadi bentuk harimau.

Tamat filem, ada beberapa persoalan yang tidak terjawab; apa yang terjadi kepada Em sesudah kejadian harimau yang mencederakan anak buah Ah Long? Apakah hubungan dan peranan Tina untuk menjaga Ari sesudah Ari mendapat harimau saka?

Pertama kali Kami mendengar mengenai filem ini banyak perbualan berfokus kepada unsur saka dan seram memandangkan ia diarahkan oleh Shuhaimi Baba. Watak Arina sangat penting dalam membawa perbualan mengenai identiti transgender walaupun perkataan itu tidak digunakan sepanjang filem tersebut. Berborak mengenai identiti transgender, masyarakat yang memegang kepercayaan kepada binari jantina berpendapat bahawa khunsa dibenarkan untuk menukar jantina. Namun, ini tidak mengiktiraf khunsa sebagai satu identiti yang tidak bergantung kepada sistem binari jantina. Kebanyakan khunsa (atau interseks dalam bahasa identiti) telah ditentukan jantina mereka (lelaki atau perempuan) sejak lahir samada oleh doktor atau penjaga mereka. Dalam naratif advokasi interseks, empunya badan berhak untuk tentukan atau memberi keizinan untuk sebarang pengubahsuaian terhadap diri mereka. Berbalik kepada Arina, identiti trans dan transgender boleh wujud tanpa mengira keadaan mereka sejak lahir.

Perbualan mengenai transgender juga fokus kepada akses kesihatan apabila Arina melakukan pembedahan untuk menukar jantina di Singapura. Pembedahan menukar jantina adalah sebuah proses yang kompleks, memerlukan ujian dengan doktor dan pakar sebelum diberi lampu hijau untuk menenuskan pembedahan tersebut. Selain dari kos pembedahan yang tinggi, persiapan untuk menjalani pembedahan tersebut memerlukan keadaan mental yang kuat terutama untuk adaptasi keadaan badan yang baru selepas pembedahan. Suatu ketika dahulu, Malaysia membenarkan pembedahan menukar jantina, namun tidak lagi dibenarkan disebabkan kebangkitan Islamisasi dan kewujudan polis moral yang kian meningkat pada waktu itu diinspirasi oleh revolusi Iran, gerakan al-Arqam dan ABIM.

Selain dari akses kesihatan, transgender juga mengalami kesukaran untuk memohon pekerjaan atau sebarang urusan rasmi kerana identiti mereka tidak sama dengan kad pengenalan. Identiti ini termasuk nama yang dimahukan berbanding nama lahir dan jantina yang ingin dipapar pada kad pengenalan. Jabatan Pendaftaran Negara pula mematuhi undang-undang yang tidak membenarkan orang untuk menukar jantina oleh kerana sebuah institusi yang transfobik. Jika hendak mengubah undang-undang pula, perlu memohon bantuan dari ahli politik. Persoalannya, mengapa kita perlu meminta izin kepada kerajaan atau negara untuk menjadi diri sendiri, menghidupkan sebuah identiti yang membuatkan kita selesa dengan diri kita? Pada waktu yang sama undang-undang yang ada adalah hasil peninggalan penjajah kolonial dan agenda norma-hetero diteruskan sebagai kawalan untuk gender yang bendalir.

Penerimaan keluarga Arina terhadap identiti beliau membawa persoalan bagaimana keluarga menerima perubahan identiti ahli keluarga itu serta proses penerimaan tersebut. Pewarisan harimau saka dari Tok Wan Rimau kepada Arina juga membawa persoalan andai harimau saka atau unsur spiritual secara amnya mengiktiraf identiti Arina sebagai seorang perempuan untuk mewarisi harimau saka tersebut. Walaupun di rantau Asia mempunyai naratif mengenai kepelbagaian gender, sering kali identiti itu akan tenggelam atas usaha norma-hetero yang melawankan antara gender yang moden dengan gender yang budaya. Gender itu adalah bendalir dan fahaman terhadap identiti gender itu sendiri bendalir melangkaui budaya dan permodenan, tanpa unsur kuasa dan hierarki.

Waris Jari Hantu adalah sebuah filem yang menarik dalam membawa naratif mengenai warisan harimau saka di samping perubahan yang dialami oleh Arina untuk menjadi dirinya sendiri sebagai seorang transgender. Filem ini jelas menunjukkan halangan yang dilalui oleh transgender dari segi kekeluargaan, undang-undang dan kehidupan dalam masyarakat yang transfobik. Amalan harimau saka yang diselit dengan unsur-unsur Islam ditambah dengan pewarisan ia kepada Arina, bagi Kami adalah satu naratif yang menarik dalam mencabar institusi Islamik yang transfobik di Malaysia. Mungkin filem ini boleh menjadi sebuah jambatan untuk sesiapa yang mencari identiti gender dan mendekatkan diri dengan budaya spiritual Asia.