Categories
Anarko-Feminisme

Untuk Perempuan yang Memendam Misogini

oleh Erin Malikhain
Bacaan: 5 minit


Misogini terpendam (internalized misogyny) adalah perkara yang biasa didengari dari mulut perempuan. Bagaikan hendak pecah kepala ini apabila mendengar kata-kata seperti “Saya tidak seperti perempuan-perempuan lain,” “Kami tak suka berkawan dengan perempuan kerana mereka banyak drama,” atau “Lelaki sahaja yang layak memimpin, perempuan macam kita harus duduk di dapur.” Bukannya Kami sahaja yang biasa mendengar kata-kata seperti ini bukan? Anda tidak bersendirian, dan inilah sebabnya mengapa ia menjadi masalah.

Sekitar media sosial, ramai perempuan yang menulis pendapat yang berbaur seksis dan menyakitkan hati. Hakikatnya, ramai di antara kita yang menulis pendapat di media sosial sesuka hati kerana tiadanya rasa tanggungjawab terhadap tulisan tersebut.

Apabila ramai yang menyerang perempuan yang melontarkan pendapat mereka terhadap seksisme dan diskriminasi gender, akan muncullah perempuan yang cuba untuk menutup saluran pendapat tersebut dengan menulis tentang betapa menyampahnya dan malunya mereka terhadap perempuan yang lantang bersuara. Banyak yang boleh kita perhatikan di sini: bahawa anda malu dengan gender anda sendiri, bahawa golongan perempuan selayaknya dibenci, dan adalah okay untuk anda memalukan perempuan lain di khalayak ramai.

Dan untuk membidas di media sosial, dengan cuba untuk menunjukkan perempuan yang memendam misogini, Kita sebagai perempuan juga berindak, sama ada secara sedar ataupun tidak, menulis lebih banyak perkara yang akan memalukan mereka. Kami tidak terlepas, dan pernah melakukan perbuatan tersebut.

Perbuatan membidas perempuan yang memendam misogininya secara terang-terangan tidak akan membantu mereka untuk memahami kesan patriarki, misogini dan seksisme yang telah lama bertakung dalam diri kita. Apabila kita hidup dalam masyarakat di mana patriarki tumbuh melata, kita masih akan tertakluk dan terikut-ikut perbuatan yang menyakiti satu sama lain.

Sedangkan apabila perempuan saling berbalah, tidak bersolidariti bersama rakan-rakan perempuan yang lain, golongan yang mendapat untung tentulah lelaki, yang dikuasakan oleh patriarki. Mereka bergelak ketawa apabila perempuan bergaduh kerana sekali lagi patriarki telah menang, pada hari ini.

Patriarki menang kerana perempuan selamanya dilihat sebagai golongan terendah dalam piramid keistimewaan (privilege pyramid). Apabila perempuan saling merendahkan antara satu sama lain demi mendapat pengiktirafan dari lelaki (patriarki), sistem ini semakin keras berakar umbi, dan sukar untuk dihapuskan.

Untuk teman-teman perempuan yang berniat baik untuk menyelamatkan perempuan yang memendam misogini: Kami menyarankan teguran secara tertutup, dan cuba untuk fahamkan mereka akan kesan seksisme & diskriminasi dengan mudah, melalui perbualan tertutup itu.

Untuk teman-teman perempuan yang memendam misogini: masih ada ruang untuk pembaikan diri dan pemahaman tentang kesan sistem patriarki pada diri anda dan masyarakat di sekeliling anda. Berhenti mencuba untuk mendapatkan pengiktirafan dari lelaki kerana patriarki itu tidak pernah melihat perempuan sebagai golongan yang sekufu dengan lelaki. Sebaliknya, dengarkan nasihat dari perempuan lain, terutamanya mereka yang telah menerima akibat dari seksisme & diskriminasi secara langsung.

Sesungguhnya, solidariti dari golongan yang tertindas akan mengangkat posisi kita di mata masyarakat dan kelas. Apabila kita membuang masa dengan bergaduh sepanjang hari, kita telah mengabaikan mereka yang telah tertindas oleh sistem.