Categories
Anarkisme Terjemahan Wawancara

Wawancara Khayalan dengan Alexander Berkman

oleh Kon Zing
Bacaan: 7 minit
Diterjemah dan diadaptasi dari artikel Abdul Hamid Sumantri


Minit-minit awal filem Sherlock Holmes, A Game of Shadows (2011), dibuka dengan peristiwa pengeboman sebuah bangunan, diiringi dengan ayat ‘kelompok anarkis’ yang disyaki sebagai dalang di sebalik kejadian tersebut. Sebutan ‘anarkis’ tidak pernah luput dari liputan media massa. Khabar terakhir pasca Hari Buruh 2019, pihak berkuasa dengan jelas meletakkan segala kerosakan yang terjadi itu adalah dari perbuatan kelompok anarkis. Kita pasti marah, mengecam, bahkan berani menentang kerosakan yang direka oleh pihak berkuasa.

Tetapi ada hal yang luput dari apa yang kita kecam tersebut, yakni pertanyaan tentang apa sebetulnya ‘anarkisme’ itu. Jawapan yang selalu kita dapat, selalunya datang dari pihak berkuasa. Adakah anda akan terus mempercayai kata-kata mereka, atau ingin mendengar jawapan terus dari penggerak utamanya?

Berikut adalah jawapan dari wawancara khayalan saya bersama seorang tokoh anarkisme, Alexander Berkman.

Alexander, benarkah ada tanggapan umum yang keliru tentang maksud ‘anarkis’?

Ya, pihak berkuasa, kerajaan, dan media selalu membawa naratif dan berita tentang kelompok anarkis yang suka melemparkan bom kepada masyarakat. Sehingga kebanyakan orang menyimpulkan bahawa anarkis adalah kelompok yang suka bermain dengan kekerasan, kehidupan yang tidak teratur, dan menyukai kekacauan.

Jadi, bagaimana anda sebagai sebahagian dari kelompok anarkis mengertikan perkataan ‘anarkis’ itu sendiri?

‘Anarkis’ itu asalnya dari perkataan ‘anarki’, yang dalam bahasa Yunani bermakna tanpa kerajaantanpa kekerasan atau tanpa pemerintah. Jadi menurut saya, sebenarnya kapitalisme dan kerajaanlah yang mengamalkan serta mempertahankan ketidakteraturan dan kekerasan.

Sekejap….. di awal bicara tadi anda berkata bahawa pihak media selalu meletakkan ‘anarkis’ dengan ‘kekerasan’ di dalam ayat yang sama. Adakah berita seperti itu palsu dan kelompok anarkis tidak pernah melakukan kekerasan?

Tidak, saya mengakui bahawa kelompok anarkis memang pernah melemparkan bom. Kadang-kala, mereka mengambil jalan kekerasan juga sebagai tanda bantahan terhadap kerajaan dan pihak berkuasa.

Oh, jadi benarlah apa yang diduga oleh masyarakat sekeliling?

Saya sudah beritahu, kadang-kala sahaja jalan kekerasan itu ditempuh, bukan pada setiap waktu. Jadi bagi saya, tidak adil untuk menyimpulkan bahawa ‘anarkis’ itu sama dengan ‘kekerasan’ hanya kerana fakta yang ‘kadang-kala’ itu.

Jadi, bagaimana anda melihat kekerasan itu sendiri?

Tindakan ini boleh dilakukan oleh sesiapa pun, tidak hanya oleh kelompok anarkis. Kekerasan juga pernah dilakukan oleh penyokong politik ‘republikan’ yang bernama Brutus. Beliau membunuh Caesar kerana ingin membela kota Rom pada ketika itu.

Contoh lain, kekerasan juga dilakukan oleh para Suffragette; kelompok wanita Inggeris yang memperjuangkan hak untuk mengundi, padahal mereka semua tidak berlatarbelakangkan anarkis.

Jadi menurut anda, kelompok anarkis bukanlah satu-satunya yang pernah melakukan kekerasan politik?

Ya. Malah saya berani cakap, jumlahnya lebih sedikit jika dibandingkan dengan yang dilakukan oleh individu dari aliran politik yang lain.

Lagipun menurut saya, kekerasan secara umumnya sudah menjadi sebahagian dari perjuangan setiap kaum sejak dari zaman dahulu.

Jika anarkisme itu suatu aliran politik, apakah intisari perjuangannya?

Anarkisme adalah suatu ajaran yang mengajak manusia ke arah perdamaian dan harmoni, menentang penjajahan, mengajarkan kesucian hidup dan kebebasan.

Kelompok anarkis lebih sensitif terhadap kemungkaran dan ketidakadilan, lebih cepat marah terhadap penindasan, sehingga ada antara mereka kadang-kala menyuarakan bantahan mereka dengan bertindak secara kekerasan.

Jadi kekerasan itu sebagai salah satu cara untuk mengungkapkan bantahan, tetapi selain itu, kekerasan juga merupakan tindakan yang dipengaruhi oleh perangai seseorang individu.

Saya rasa masih belum jelas tentang soal kekerasan, jadi seperti apa tindakan ini menurut kelompok anarkis?

Tidak semua anarkis bersetuju pada kekerasan. Kelompok anarkis-pasifis seperti Tolstoyan serta hampir semua kaum anarkis individualis mengutuk kekerasan politik, sementara kaum anarkis lain menyetujuinya atau paling kurang pun, membenarkannya.

Dahulu, sebahagian kelompok anarkis ramai yang percaya pada kaedah kekerasan. Mereka menganggap kekerasan sebagai alat utama untuk membalas kekejaman terhadap rakyat, memberikan ketakutan terhadap musuh, dan juga untuk menarik perhatian terhadap kejahatan yang ditujukan oleh tindakan tersebut.

Tetapi, kebanyakan pengamal anarkisme sekarang tidak lagi mempercayainya, kerana kaedah tersebut tidak sesuai dengan situasi dan keadaan hidup yang serba moden, malah ia juga akan membahayakan penyebaran idea-idea anarkisme kelak.

Kadang-kala, kita lupa dengan kenyataan bahawa yang mempengaruhi orang untuk melakukan kekerasan itu adalah kerana perangai individualnya, bukan kerana apa-apa ‘-isme’ yang dianutnya.

Tadi, anda menyebut bahawa salah satu tujuan dari anarkisme adalah untuk kebebasan, bukankah sekarang ini kita sudah bebas?

Tidak. Malah kita masih hidup dalam ruang yang penuh dengan kekerasan, kekuasaan, undang-undang, ketakutan, dan hukuman. Kita berasa bebas hanya kerana kita tidak membuat tinjauan dan ulasan yang teliti tentang apa yang kita hadapi sekarang. Itu terjadi kerana kita sudah tenggelam di dalam semangat kekerasan itu.

Kita menerima sahaja apa yang disebut oleh kerajaan tentang apa yang sah dan apa yang menyalahi undang-undang. Paling tidak pun, kita hanya akan bertanya; adakah tindakan kita sah di sisi undang-undang. Padahal, masih ada persoalan yang sama penting di sebalik kekalutan tersebut. Contohnya, soal hak kerajaan untuk membunuh atau menyita dan memenjarakan anggota masyarakat.

Soal hak kerajaan untuk memaksa masyarakat supaya tunduk kepadanya itulah apa yang saya gelar sebagai ‘kekuasaan’. Adakah anda sedar tentang perkara ini? Kekuasaan itulah yang mengaturkan hidup anda. Anda tunduk pada kemahuan orang lain, bukan berdasarkan kemahuan anda sendiri.

Kemudian, anda akan berdendam kerana rasa tertekan. Akhirnya anda mengamalkan kekuasaan ke atas orang lain yang boleh dan akan tunduk kepada anda. Begitulah seterusnya, dengan demikian kehidupan kita penuh dengan rangkaian obsesi terhadap kekuasaan. Semangat hidup untuk mendominasi, menundukkan, memerintah, menguasai, hingga membenarkan segala jenis dan bentuk kekerasan untuk meraih kekuasaan tersebut.

Jadi…..?

Kehidupan seperti ini tidak bertamadun dan tidak beradab.

Anda ingin mengatakan bahawa jalan anarkisme yang membuatkan kehidupan kita bertamadun dan beradab?

Ya, anarkisme menawarkan aturan masyarakat tanpa kekuasaan dan pemaksaan. Kami mempercayai dan meyakini bahawa semua manusia perlu sama dan setara untuk hidup dalam kebebasan, kedamaian dan harmoni. Dari sini manusia akan menjadi lebih tercerahkan, kerana mereka semakin menjauhkan diri dari pemaksaan dan kekerasan.

Kebebasan apa yang anda maksudkan di sini?

Kebebasan dari paksaan yang berupa kekuatan atau kekerasan. Kebebasan untuk memilih jalan hidup yang dianggap paling baik.

Apakah yang membebani kita sekarang?

Kerajaan dan pihak berkuasa.

Jadi misi anarkisme adalah untuk menghancurkan kerajaan?

Betul. Itu sahaja cara untuk menghapuskan segala jenis perkara yang membebani kehidupan kita sekarang. Mengapa kerajaan perlu dihancurkan? Kerana institusi-institusi kekuasaan yang sedia ada inilah yang menghalang kehidupan yang anda inginkan, yang memaksa anda untuk memilih apa yang bertentangan dengan keinginan sebenar anda.

Oh, bukankah kerajaan banyak berjasa kepada kehidupan bermasyarakat kita?

Tidak. Mereka sebenarnya adalah penjajah yang paling besar; bahkan penjenayah paling jahat yang pernah ada dalam sejarah manusia. Kerajaan memenuhi dunia dengan kekerasan, penipuan, kebohongan, penindasan dan kesengsaraan.

Ada sebuah ungkapan yang mengerikan tentang kerajaan. Anda tahu?

Apa?

Nafas mereka adalah racun, mereka merosakkan dan memusnahkan apa sahaja yang disentuh mereka.

Okay. Untuk beberapa perkara, seperti perang dunia atau perang politik seperti rampasan kuasa di kalangan golongan elit itu sangat menyengsarakan masyarakat.

Tapi, adakah kita mampu untuk hidup tanpa kerajaan?

Saya yakin, anda sebenarnya tidak memerlukan kewujudan kerajaan. Anda mampu hidup menjadi seorang yang baik hati tanpa perlu ada pihak berkuasa. Kemudian, anda akan menyedari bahawa kerajaan hanya diperlukan oleh sebahagian orang sahaja.

Maaf… Tapi bukankah jika tidak ada kerajaan, tidak ada pihak berkuasa, orang lain akan bebas melakukan jenayah seperti merompak, misalnya?

Okay. Saya ingin bertanya kembali kepada anda; Adakah dengan kewujudan kerajaan dan pihak berkuasa selama ini menjadikan dunia yang kita diami ini sifar perompak? Kenapa kita tidak tanya mereka sahaja mengapa mereka melakukan aksi jenayah tersebut? Boleh jadi jika kita meneliti alasan-alasan mereka terlebih dahulu, kita dapat mendapatkan jalan keluar bagi mereka.

Hmm… Tapi bukankah kerajaan itu hasil ciptaan dari masyarakat juga?

Ada sebuah analogi berkaitan ini. Begini, sekiranya pada suatu hari, anda, saya, dan beberapa orang lain menjadi mangsa kapal karam. Kemudian kita menemui sebuah pulau yang kaya dengan segala macam jenis buah. Sudah pasti kita akan bekerjasama untuk mengumpulkan makanan itu, kan?

Tetapi, andai kata salah seorang dari kita mengatakan bahawa seluruh pulau tersebut adalah miliknya seorang, dan tiada siapa yang boleh mendapatkan walau sepotong buah sekalipun kecuali kita menyerahkan ufti dan cukai kepadanya terlebih dulu, adakah kita akan menurut perintahnya bulat-bulat?

Kita akan mentertawakan keinginan karutnya itu. Dan kita akan melemparnya ke laut, kerana dia telah mengganggu hubungan kerjasama kita.

Tetapi, pasti ramai yang gusar sekiranya tidak ada kerajaan, semua orang akan melakukan sesuatu sesuka hati mereka.

Dengan wujudnya kerajaan, kita sebagai rakyat biasa tidak boleh melakukan apa-apa padahal pihak yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja sesuka hati mereka. Perompakan dan pembunuhan sebenarnya dipicu oleh kewujudan kerajaan, yang tidak menjamin apa yang menjadi hak milik kita secara sah. Sebaliknya, mereka bekerja hanya untuk keuntungan mereka sendiri.

Saya ingin bertanya sesuatu kepada anda sekarang;

Sekiranya anda bangun dari tidur pagi esok, dan mendapat berita bahawa tidak ada lagi kerajaan di negara anda, adakah anda akan terus bangun dari katil, turun ke jalan dan membunuh seseorang? Atau anda akan masuk ke kedai runcit yang berdekatan, dan mencuri beberapa makanan untuk dijadikan sarapan anda?

Artikel ini merupakan renungan atas buku ABC Anarkisme: Anarkisme untuk Pemula (2017)karya Alexander Berkman, terbitan Penerbit Daun Malam